Kerajaan BN tidak pinggirkan penduduk Dungun




DUNGUN, 6 Mei (Bernama) -- Meskipun Barisan Nasional (BN) hanya memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Dungun namun, kerajaan dilihat tidak meminggirkan penduduk di kawasan itu.

Malah, penduduk di kawasan itu turut menerima pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan seperti mana yang dinikmati penduduk di kawasan yang diwakili BN.

Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam berkata kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan BN kerana ia merupakan satu daripada prinsip perjuangannya.

"Kita telah melaksanakan gerak kerja sejak lima tahun lepas dengan kita sentiasa turun padang melihat sendiri keadaan rakyat, kita bantu mereka menerusi peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan."

"Antara program yang kita buat ialah baiki dan bina baharu rumah dengan peruntukan daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan kerajaan negeri. Kita juga ambil maklumat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk kenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan," katanya kepada Bernama.

Din, yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun dan calon kerusi Parlimen Dungun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), berkata menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri Terengganu, lebih 400 rumah di kawasan Parlimen itu telah dibaik pulih dengan kos RM10,000 sebuah rumah sejak lima tahun lepas.

Sementara itu, penduduk Kampung Rantau Abang, Mohd Rasli Mansor, 69, berkata beliau melihat wakil rakyat pembangkang kawasan itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya selain jarang menyantuni masyarakat.

"Dua tahun lalu, rumah saya rosak dihempap pokok kelapa. Wakil rakyat pembangkang tak datang tengok pun rumah saya. Jentera BN pulak yang datang tengok."

"Datuk Din yang ambil tahu hal kesusahan keluarga kami masa tu...memandangkan rumah saya dibina atas tanah orang, Datuk Din beri pertimbangan untuk bina sebuah rumah baru menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

Mohd Rasli, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, juga berterima kasih kepada kerajaan BN yang sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kebajikan rakyat.

Orang Kelainan Upaya (OKU) Isma Nabila Ismail, 29 dari Kampung Pak Sabah, pula berkata golongan OKU juga tidak dipinggirkan kerajaan BN kerana mereka menerima pelbagai bentuk bantuan.

"Kerajaan memang ambil cakna mengenai kesusahan orang kampung. Kalau kat kawasan saya ni, walaupun PAS pegang tetapi, kerajaan BN yang bantu kami."

"Akhir tahun lalu, saya terima rumah PPRT yang lengkap dengan tiga bilik dan dua tandas...memang selesa sebab sebelum ni saya tinggal di rumah pusaka mak yang sudah usang," katanya yang mengalami kecacatan fizikal di bahagian muka dan tangan sejak berusia dua tahun.

Isma Nabila berkata selain menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450, beliau turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan dan dana raya yang disalurkan kerajaan negeri sebanyak RM300 sebulan.

-- BERNAMA