Ahmad Bashah mahu bawa peniaga Pekan Rabu lawat negara jiran
ALOR SETAR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bercadang membawa peniaga di Pekan Rabu dekat sini melawat kompleks perniagaan di beberapa negara jiran selepas sambutan Aidilfitri ini bagi mendedahkan mereka kepada teknik perniagaan di sana.
Katanya antara yang boleh dipelajari oleh 355 peniaga di Kompleks Pekan Rabu yang baharu itu ialah susun atur barangan perniagaan di luar negara yang disifatkan beliau lebih tersusun dan sistematik.
"Saya minta peniaga untuk memberi kerjasama baik dengan koperasi (Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad) supaya kebersihan dan kecantikan dalam lot perniagaan masing-masing dapat dijaga, sebab itu saya minta untuk urus rombongan melawat ke kompleks perniagaan di luar negara."
"Saya nak mereka dapat lihat dan ubah pendekatan mereka supaya perniagaan mereka dapat dihiasi dan pada masa mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pembeli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Pekan Rabu, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Kompleks baharu dengan 355 ruang niaga bernilai RM55.57 juta yang dibina di atas tapak seluas 5,062 meter persegi siap pada 15 Jan lalu.
Sementara itu, Hamzah mengingatkan para peniaga untuk terus mempertahankan Pekan Rabu yang merupakan jenama dan ikon bagi negeri Kedah.
"Pekan Rabu ini sudah 100 tahun jadi ia ada jenama tersendiri yang boleh diketengahkan dan saya akan pastikan untuk memasarkan jenama Pekan Rabu ini di seluruh negara dan kepada pelancong luar yang datang melancong ke negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Hamzah meminta Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad Mohamed Jalaludin Mohd Noor agar memastikan peniaga yang menyewa benar-benar menjalankan peniagaan dan tidak menyewakannya kepada orang lain.
"Peniaga jangan sesekali menyewakan kedai mereka kepada orang lain dan saya telah serahkan kepada Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad untuk uruskan pentadbiran di sini tetapi sekiranya gagal Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan campur tangan," katanya.
-- BERNAMA