Bantu rakan dalam parti komponen BN menang PRU14 - TPM Zahid




SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua anggota komponen parti dalam Barisan Nasional (BN) membantu dan memenangkan calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Mengambil contoh kerusi Parlimen Seremban yang ditandingi Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon, beliau mahu semua parti termasuk UMNO untuk berusaha memenanginya memandangkan BN berpeluang besar untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

"Dalam semangat BN, ada calon daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak. Di Perak, saya ada pengundi Cina dan India tetapi UMNO yang bertanding tetapi kawan dalam parti kita yang membantu."

"Oleh itu, calon UMNO tak boleh dibiarkan sendirian dan begitu juga dengan calon MCA jangan kita biar ketinggalan," katanya dalam ucapan di Majlis Bersama Pemimpin di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Chong serta calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ampangan, Temiang, Nilai, Lobak dan Lenggeng.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata semangat kerjasama jitu itulah yang ingin dicapai dalam parti bagi memastikan gabungan itu terus melakar kejayaan.

Sementara itu, beliau mahu kerusi Parlimen Seremban dirampas kembali pada PRU14.

"Syamsul (Amri Ismail-calon DUN Sikamat) bantu Ah Chong kerana beliau saya tengok mempunyai material sebagai menteri dan dia mempunyai keberanian luar biasa (untuk berdepan dengan Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook). Jangan biarkan Ah Chong seorang diri.

"Walaupun dia menjadi senator dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, saya selalu memantau dia...Ah Chong adalah antara timbalan menteri yang berprestasi tinggi di Dewan Rakyat. Kalau sebelum ini orang menyatakan bahawa dia masuk ikut pintu belakang (menjadi timbalan menteri), kalau dah dia berprestasi tinggi berilah Ah Chong masuk ikut pintu depan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata Chong selain berpotensi merampas kembali Parlimen Seremban daripada DAP, juga berpotensi menjadi Presiden MCA.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mahu permasalahan dalaman dihentikan dengan segera sebelum hari pengundian 9 Mei ini.

"Ketepikan perbezaan antara parti kerana ini yang akan membantu kemenangan BN," katanya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 1,500 itu, Ahmad Zahid turut meluluskan permohonan Mohamad supaya sebuah masjid dibina di Taman Warisan Puteri, Sikamat dekat sini.

Mohamad dalam ucapannya memohon agar sebuah masjid dibina di Taman Warisan Puteri dengan kos RM5 juta.

-- BERNAMA