Insentif kerajaan bantu pesara atasi masalah kos sara hidup




Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Pelbagai inisiatif dan insentif telah diberikan kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup terutama kepada golongan pesara antaranya pelarasan kenaikan pencen dua peratus setahun yang mula dilaksanakan pada 2013.

Pesara Mohamad Yusof A Hamid,68, berkata selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kenaikan kadar pencen membuktikan kerajaan menghargai jasa bekas penjawat awam dan tidak meminggirkan golongan itu daripada arus pembangunan.

"Masa saya bersara pada 2006, pencen saya ketika itu hanya RM550 kini dengan pelbagai insentif diberikan kerajaan pencen saya sudah meningkat kepada RM1,154 tahun ini."

"Pelarasan kadar pencen sedikit-sebanyak membantu saya menampung perbelanjaan harian bersama isteri tanpa perlu berharap bantuan anak-anak," katanya kepada Bernama.

Mohamad Yusof menambah jika di zaman pemimpin terdahulu golongan pesara tidak menikmati keistimewaan seperti ini dan hanya bargantung kepada pencen yang statik.

Selain kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pemberian sebanyak satu peratus kenaikan kadar pencen secara sekali bayar mulai 1 Julai sehingga 31 Dis 2018.

Bagi Zaibidah Sulaiman, 62, kerajaan prihatin dan sentiasa memberi habuan kepada pesara sama seperti penjawat awam lain.

Katanya pelbagai kemudahan dan insentif telah kerajaan berikan kepada penjawat awam termasuk bonus kepada pesara yang membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa.

"Sekarang pesara merasa ada perubahan pada duit pencen...sekurang-kurangnya kami ada duit lebih untuk simpan bagi kegunaan waktu kecemasan," katanya.

-- BERNAMA