437 anggota PPBM Parlimen Kubang Pasu keluar parti 
KUBANG PASU, 6 Mei (Bernama) -- Sebanyak 437 anggota PPBM di kawasan Parlimen Kubang Pasu hari ini bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai Barisan Nasional (BN) selepas mendakwa kecewa dengan perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kumpulan itu, yang diketuai Timbalan Ketua Penerangan PPBM Kubang Pasu Ab Manaff Kechik, mengumumkan tindakan mereka itu pada sidang media di Command Centre BN Parlimen Kubang Pasu di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan perjuangan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah melampaui batas, bersifat peribadi dan dendam yang boleh menggugat perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Kami, seramai 437 orang anggota PPBM Kubang Pasu, telah menginsafi dan dengan rela hati mengisytiharkan keluar dari PPBM dan berikrar menyokong penuh serta bekerja untuk kemenangan calon-calon BN yang bertanding di Kubang Pasu," katanya.
Ab Manaff, yang mendakwa menjadi pencadang kepada calon Pakatan Harapan bagi kawasan Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah (PKR-PPBM) Pilihan Raya Umum Ke-14, turut mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PPBM Kubang Pasu.
"Saya juga mengumumkan menarik diri sebagai pencadang kepada calon Parlimen Kubang Pasu," katanya.
Ab Manaff kemudian menyerahkan borang keanggotaan kepada Setiausaha UMNO Bahagian Kubang Pasu Shamsuddin Ahmad.
-- BERNAMA