Empat penyokong parti politik direman empat hari di Segamat




SEGAMAT, 6 Mei (Bernama) -- Empat penyokong sebuah parti politik direman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian jenayah semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu, yang melibatkan ugutan dan isyarat lucah kepada penyokong parti lawan, malam tadi.

"Kita menahan reman mereka selama empat hari bermula hari ini bagi menyiasat kes itu di bawah Sekysen 507 Kanun Keseksaan atas tuduhan membuat ugutan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas tuduhan menunjuk isyarat lucah," katanya kepada pemberita di sini semasa mengulas mengenai penahanan empat penyokong parti itu semalam.

Mohd Khalil ditemui selepas program merasmikan program Kepolisan Berprofil Tinggi bersama Komuniti Daerah Segamat di Segamat Sentral hari ini, yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Wan Ahmad Najmuddin mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke majlis itu.

Mohd Khalil berkata sejak hari penamaan calon PRU14 sehingga hari ini, Polis Johor menerima 94 laporan dan hanya 30 kes sahaja yang dikenal pasti mempunyai usur jenayah namun ia tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Sehubungan itu, beliau menasihati penyokong dan pengundi supaya mengawal perasaan mereka dan keluar mengundi dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin mengingatkan penyokong semua parti supaya menghormati undang-undang.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi undang-undang.

"Seluruh negara berada dalam keadaan terkawal dan pihak polis sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa sejak awal lagi," katanya.

-- BERNAMA