Program #MOF bersama rakyat bukan agenda PRU14
IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Program Kementerian Kewangan Malaysia #MOF Bersama Rakyat adalah program yang bertujuan untuk meringankan kehidupan rakyat bukan sebagai sebahagian daripada agenda Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata program yang dijalankan di seluruh negara sejak awal tahun itu adalah untuk memastikan agensi kerajaan telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Beliau berkata antara lain, program itu adalah cara untuk pihaknya mengumpul input daripada rakyat sebagai persediaan Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober nanti.
"Program ini adalah sebagai cara untuk kita berinteraksi dengan orang kampung untuk tahu permasalahan mereka sebagai rangka untuk bajet akan datang."
"Sebab itu juga kita turun padang berbincang dan berinteraksi dengan rakyat supaya kita boleh mengetahui isi hati mereka," katanya.
Mohd Irwan Serigar berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program #MOF Bersama Rakyat di Kampung Tengku Hussein, di Manjoi, di sini hari ini.
Turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tambun yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Seri Sabin Samitah.
Beliau berkata kehadiran pihaknya adalah untuk menerangkan kepada rakyat berhubung pertumbuhan dan keadaan ekonomi terkini negara.
"Malaysia berada di kedudukan ekonomi yang kukuh, dengan Bank Negara Malaysia meningkatkan ramalan pertumbuhan ekonomi untuk negara tahun ini antara 5.5 hingga 6 peratus."
"Tohmahan mengatakan ekonomi tidak kukuh adalah fakta yang salah sebenarnya dan hanya untuk mengabui mata rakyat contohnya berhubung GST (cukai barang dan perkhidmatan)."
"Di Perak saya lihat banyak poster (pembangkang) tulis hapuskan gst, saya nyatakan di sini, 64 negara telah melaksanakan GST dan terkini Arab Saudi juga sedang mendapatkan khidmat pakar kita untuk melancarkan GST di negara mereka," katanya.
Program tanggungjawab sosial korporat #MOF ini telah berlangsung di Sabah, Sarawak, Kedah, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Perak.
-- BERNAMA