Polis tubuh pasukan khas siasat dakwaan Amran Ahmad 
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan anggota seumur hidup DAP Amran Ahmad mengenai parti pembangkang itu cuba menyebarkan propaganda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ia susulan laporan polis yang dibuat Amran di Balai Polis Pudu di sini, baru-baru ini.
"Sebelum kita bertindak melakukan tangkapan, serbuan atau tindakan lebih lanjut, kita akan mengambil keterangan Amran dalam masa terdekat.
"Kita tidak mengira parti politik mana. Dalam hal ini, (kita) memang memandang serius aduan itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara dan demokrasi berparlimen," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program 'Walkabout' Pencegahan Jenayah Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
-- BERNAMA