Isu Bawa Keluar Kertas Undi: Itu video lama - SPR
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan penularan video di media sosial memaparkan seorang petugas pilihan raya ditahan oleh pihak tertentu kerana disyaki membawa keluar kertas undi bukan berlaku semasa hari pengundian awal semalam.
SPR menerusi kenyataannya hari ini, hasil semakan mendapati video yang tular sejak awal hari ini merupakan kejadian yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.
"Video tersebut juga pernah disiar dan disebar menerusi laman media sosial Youtube dan beberapa laman Facebook antara 4 hingga 7 Mei 2013 dan kini ia ditularkan kembali bagi membangkitkan suasana gempar di kalangan rakyat.
"SPR berharap orang ramai tidak terus mempercayai sebarang mesej atau visual yang tersebar di media sosial atau turut menyebarkannya secara perkongsian di laman media sosial," menurut kenyataan itu.
Menurut suruhanjaya itu, sebarang kemusykilan dan pertanyaan mengenai pilihan raya boleh dirujuk kepada SPR dengan menghubungi talian hotline 03-88927018.
-- BERNAMA