PRU14: Hanya 212,834 pengundi pos - SPR




PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan kononnya terdapat sehingga empat juta pengundi pos pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sedangkan jumlah sebenar hanyalah 212,834 orang yang meliputi pelbagai kategori permohonan.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata jumlah tersebut merangkumi 149,730 permohonan melalui Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, anggota tentera, anggota polis dan petugas media.

"Bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula iaitu terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah sebanyak 7,979 permohonan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata permohonan melalui Borang 1C pula adalah sebanyak 51,472 orang.

Katanya jumlah itu meliputi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, polis sukarelawan, petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selain itu, Mohd Hashim berkata terdapat kategori pengundi tidak hadir (PTH) luar negara yang merupakan penjawat awam dan pasangan serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan iaitu sebanyak 3,653 permohonan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengundi pos agar segera mengembalikan kertas undi mereka kepada pegawai pengurus pilihan raya di bahagian pilihan raya masing-masing sebelum pukul 5 petang hari mengundi PRU14 pada 9 Mei (Rabu).

Mohd Hashim berkata SPR turut menasihatkan semua pengundi pos agar tidak mempercayai mesej tular di media sosial yang menggesa mereka hanya mengembalikan kertas undi pos sahaja tanpa mengembalikan borang pengesahan identiti kerana kononnya undi tidak akan menjadi rahsia.

"Pengundi pos adalah diingatkan sekiranya mereka tidak mengembalikan kertas undi berserta dengan borang tersebut, kertas undi pos mereka tidak akan dikira dan ditolak kerana dianggap tidak ditanda oleh pemilih yang berdaftar," katanya.

Tambahnya SPR akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menularkan mesej tidak benar berbentuk hasutan itu kerana ia boleh menyebabkan proses pengundian terjejas dan kertas undi tersebut tidak dikira dan ditolak.

Mohd Hashim berkata semua pengundi termasuk pengundi pos tidak perlu gusar kerana SPR memberi jaminan bahawa undi mereka adalah rahsia dan tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun.

-- BERNAMA