Rakyat Sabah sokong BN - Musa Aman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman (dua, kanan) pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Penampang di Dewan Hongkod Koisaan malam ini. Turut hadir Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (dua, kiri).
PUTATAN, 6 Mei (Bernama) -- Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman yakin rakyat Sabah masih menyokong Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini.
Beliau berkata rakyat negeri ini bijak mengenal parti yang berjaya melaksanakan tanggungjawab dan janji kepada rakyat.
"Rakyat Sabah masih bersama BN. Semangat mereka begitu kuat untuk terus menyokong BN.
"Mengapa? Kerana mereka tahu inilah parti yang membawa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat," katanya pada majlis pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di sini, hari ini.
Turut hadir calon Parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas Datuk Yahya Hussin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah serta calon DUN Tanjong Aru Datuk Edward Yong Oui Fah.
Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah, turut berang dengan Parti Warisan Sabah yang menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan dedak.
"Ini satu penghinaan. Apa salahnya kerajaan guna duit kerajaan untuk diberikan kepada rakyat yang memerlukan.
"Inilah kerajaan BN yang sentiasa membela rakyat. Bukan kita mahu cakap takbur tetapi apakah jasa pembangkang kepada rakyat," katanya.
Oleh itu, beliau berharap pengundi di Sabah terus memastikan BN kekal sebagai kerajaan dengan mengundi gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Pada majlis itu, Musa turut merasmikan majlis pecah tanah pembinaan SMK Petagas bernilai hampir RM50 juta untuk manfaat rakyat di Putatan.
-- BERNAMA