Jentera BN perlu beri penjelasan berserta fakta - Ismail Sabri
BERA, 6 Mei (Bernama) -- Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu memberikan penjelasan berserta fakta kepada rakyat bagi menangkis fitnah dan tohmahan pembangkang terhadap kerajaan BN, kata calon BN yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata penerangan yang jelas dapat menyedarkan rakyat tentang pentingnya memilih BN berbanding pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Rabu ini.
"Kita tidak mahu momentum pembangunan negara terutama dalam bidang ekonomi, kesihatan, makanan dan keagamaan tergendala hanya disebabkan silap buat perhitungan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Dan Karnival Jiran Wanita peringkat daerah Bera di Taman Merbau di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata fitnah di media sosial terhadap kerajaan perlu ditangkis dengan bijaksana menggunakan fakta-fakta yang sebenar supaya rakyat dapat memahaminya.
"Saya menerima maklumat terdapat pelbagai fitnah menjelang PRU14 ini dan antaranya ialah kononnya pejabat Felda di sini mahu memberikan wang tunai RM1,000 kepada penduduk setempat.
"Akibat khabar angin ini ramai yang menunggu awal pagi di pejabat Felda untuk menerima wang tersebut dan hal ini sudah tentu menyusahkan rakyat dan perlu dielakkan sama sekali," katanya.
-- BERNAMA