130 anggota DAP Triang dan Bera keluar parti, sokong BN




BERA, 6 Mei (Bernama) -- Selepas PPBM Bahagian Temerloh kehilangan lebih separuh daripada anggotanya malam semalam, hari ini tiba giliran DAP Triang dan Bera pula menerima nasib yang sama apabila 130 anggotanya bertindak keluar daripada parti itu.

Bekas Naib Ketua Pemuda DAP Bera Kang Chung Chen, 30, berkata mereka bertindak demikian selepas hilang kepercayaan dengan calon DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang Leong Yu Man yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi.

Katanya mereka mendapati perjuangan DAP lebih kepada kepentingan peribadi dan keluarga apabila mencalonkan anak penyandang DUN Triang Leong Ngah Ngah selama lima penggal itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

"Leong (Ngah Ngah) sendiri tidak pernah turun kawasan untuk mengambil berat soal kami dan tidak pernah menolong kami, sedangkan selama ini kami bekerja keras untuknya.

"Sebaliknya Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu kami apabila ditimpa kesusahan, sehubungan itu kami akan menyokong penuh calon BN pada pilihan raya umum kali ini," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Kang berkata daripada 130 yang keluar parti itu, dirinya dan tujuh Anggota Jawatankuasa Pemuda DAP Bahagian Bera meletak jawatan serta merta berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya tindakan keluar parti itu juga dilakukan kerana mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pucuk pimpinan DAP yang menggunakan lambang PKR pada PRU ini.

Katanya, sebagai parti yang sudah diwujudkan lebih lama daripada PKR, tidak sepatutnya DAP tunduk dengan keputusan yang dicadangkan kepimpinan pakatan pembangkang.

"Walaupun jumlah yang keluar hari ini tidak ramai, saya yakin akan ada lebih ramai anggota parti akan berbuat demikian untuk menyokong BN kerana hanya BN yang mampu tolong rakyat di Bera bukan DAP," katanya.

-- BERNAMA