PH puji SPR komited jalankan tugas




PORT DICKSON, 6 Mei (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited semasa proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), semalam.

Beliau berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak SPR supaya tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pengundian itu.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera dan polis kerana mengundi walaupun terpaksa beratur panjang dalam keadaan panas terik, ini jelas menunjukkan kegigihan mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat," katanya pada sidang media PH di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 4,523 anggota tentera dan ahli keluarga masing-masing menunaikan tanggungjawab dalam pengundian awal di PUSASDA.

Pada PRU14, Danyal akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Pada PRU13 lepas, calon PKR M. Ravi menang dengan majoriti undi 2,422 menewaskan dua pencabarnya P. Tanaletchumy daripada BN dan calon Bebas S. Daniel.

-- BERNAMA