DAP sanggup menfitnah untuk kuasa politik - Noh Omar




PETALING JAYA, 6 Mei (Bernama) -- DAP hanya mahu kuasa politik sehingga sanggup menfitnah dan mempergunakan pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang bagi menjayakan agenda mereka, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata ramai anggota DAP Melayu juga bertindak keluar parti itu selepas menyedari parti chauvinis itu hanya mahu undi orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya.

Justeru, katanya, parti itu mempergunakan pemimpin Melayu antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu.

"Seorang demi seorang anggota DAP dalam kalangan orang Melayu mendedahkan bahawa parti itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan BN," katanya ketika mengulas pendedahan Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat, merangkap Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP, Amran Ahmad.

Amran dilaporkan berkata DAP menjalankan pro­­paganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menggunakan nama gabungan pembangkang PKR dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Noh berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Rakyat Sejahtera dan Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN untuk Parlimen Petaling Jaya, Chew Hian Tat dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Datuk Yusuff M Haniff.

Sementara itu, Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata PPR Lembah Subang 1 akan berubah wajah kepada sebuah kediaman yang bersih dan selamat selepas kerja-kerja pembaikan lif, mengecat semula bangunan dan pembersihan siap sepenuhnya kelak.

"Kementerian telah membelanjakan kira-kira RM30 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan itu demi memberi keselesaan kepada lebih 10,000 penduduk yang menetap di PPR Lembah Subang 1," katanya.

Beliau berkata sebuah pusat kaunseling turut diwujudkan untuk mengatasi masalah sosial seperti penagihan dadah dan ponteng sekolah di kawasan itu.

-- BERNAMA