Mahathir jadi bahan lawak, diperkudakan pembangkang - Tengku Adnan




KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Insiden Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menjadikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bahan lawak di dalam ceramahnya baru-baru ini jelas membuktikan bahawa beliau hanya 'diperkudakan' oleh pakatan pembangkang itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau berasa simpati terhadap Dr Mahathir yang juga calon Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana beliau masih belum sedar dirinya diperalatkan PH.

"Memang kita (BN) dah tahu Tun Mahathir (dipergunakan oleh pembangkang). Saya kesian (beliau) diperkudakan oleh orang (Pakatan Harapan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Surau Abbas Al-Habshee di sini, hari ini.

Surau itu boleh memuatkan kira-kira 500 orang jemaah pada satu masa.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga calon BN bagi Parlimen Titiwangsa, calon BN bagi Parlimen Cheras Heng Sinn Yee dan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Tengku Adnan ditanya mengenai rakaman video yang tular di media sosial dengan sarikata dalam Bahasa Melayu yang menunjukkan Nga yang juga calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan menggunakan ayat kasar yang menghina dan mempersendakan Dr Mahathir, 92, yang juga Pengerusi PH di dalam ceramahnya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata nasib Tan Sri Dr Rais Yatim belum ditetapkan kerana siasatan masih dijalankan oleh satu jawatankuasa yang dilantik.

"Ia masih dalam siasatan. Bila jawatankuasa (khas) maklumkan kepada saya, barulah kita ambil tindakan," kata Tengku Adnan yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

-- BERNAMA