BN Selangor ingatkan rakyat waspada gula-gula pembangkang




KUALA SELANGOR, 6 Mei (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar mengingatkan rakyat Selangor supaya berwaspada dengan ?gula-gula' politik yang ditabur pemimpin pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraaan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebenarnya gagal menyelesaikan masalah rakyat terutamanya berkaitan perumahan.

"Kita lihat menteri besar ini hanya menggula-gulakan rakyat sahaja dan tidak ikhlas membantu dan menjaga kebajikan rakyat.

"Contohnya, beliau mengecualikan bayaran cukai pintu kepada penghuni rumah flat di negeri ini tetapi dalam masa yang sama membiarkan penduduk terbeban dengan masalah kerosakan kemudahan awam termasuk lif di kawasan kediaman itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan berjumlah RM4 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kampung Baru di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Selangor harus bijak menilai kebaikan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan pimpinan BN dalam menjaga kebajikan mereka selama ini.

"Dua tahun saya menjadi menteri KPKT, sudah lebih RM30 juta kita peruntukkan untuk membaik pulih rumah flat di Selangor.

"Sebanyak RM18 juta pula dibelanjakan untuk membaiki kerosakan lif di flat-flat sekitar Parlimen Gombak yang Anggota Parlimennya adalah menteri besar sendiri," katanya.

Noh berharap rakyat Selangor akan bersatu hati dan teguh bersama-sama BN sekali gus membantu menawan kembali negeri ini pada 9 Mei nanti.

Noh akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada 9 Mei ini. Beliau dicabar calon PAS Nor Azlan Ahmad,50, dan calon PKR-PPBM Kapten (B) Datuk Dr. Zulkaferi Hanafi.

--BERNAMA