Jangan terpengaruh slogan 'ubah' - Musa
TENOM, 6 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan slogan 'ubah' yang dimainkan pembangkang.
Katanya, tidak ada apa-apa yang harus diubah pada ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod kerja yang terbaik untuk rakyat.
"Jangan gadaikan Tenom, jangan gadaikan Melalap, jangan gadaikan Kemabong untuk pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
"... ubah, ubah, ubah. Ubah apa? Apa yang mahu diubah... ubah bawa musnah," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan kecil Melalap di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN iaitu Datuk Rubin Balang bagi kawasan Parlimen Tenom, Datuk Seri Radin Malleh bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dan Jamawi Jaafar bagi DUN Kemabong.
Musa berkata BN masih mempunyai sokongan kuat daripada seluruh lapisan rakyat di negeri ini berdasarkan respons positif diterimanya semasa melakukan lawatan dan berkempen di seluruh pelosok negeri bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Selain itu, katanya dalam lawatannya di seluruh kawasan di negeri ini didapati setiap hari beratus anggota parti pembangkang Warisan meninggalkan parti itu kerana menyedari parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
"Parti ini (Warisan) diasaskan oleh orang-orang yang kecewa, adakah rakyat mahu parti yang diketuai oleh orang-orang yang kecewa," katanya.
Berhubung calon BN bagi DUN Melalap, Musa berkata pemilihan Radin sebagai calon bagi kawasan itu berdasarkan kebolehan dan keupayaannya sebagai seorang pemimpin.
"Datuk Radin merupakan anak setempat, menteri pembangunan luar bandar, seorang peguam dan seorang bekas pegawai polis. Saya lantik dia (Radin) menteri (penggal lepas), kenapa? Kerana memberi penghormatan kepada rakyat Melalap dan Tenom," katanya.
Berhubung janji pembangkang yang mahu memansuhkan geran komunal jika berjaya memerintah pada pilihan raya umum kali ini, Musa berkata, ia adalah cadangan yang tidak masuk akal kerana geran komunal diwujudkan bagi tujuan memberikan tanah secara kekal kepada penduduk.
"Saya bagi geran komunal kepada rakyat tempatan di Nabawan, Sook, Tenom dan di seluruh negeri... beratus ribu hektar... saya bukan masuk bakul angkat sendiri , saya seorang ketua menteri yang banyak (memberi tanah) kepada rakyat tempatan... ini rekod, ini bukti," katanya.
Pada majlis itu, seramai 348 bekas anggota Warisan dan PKR yang diketuai oleh bekas calon PKR pada PRU13, Masidin Tumas menyerahkan borang untuk menyertai BN kepada Musa yang juga merupakan pengerusi UMNO Sabah.
-- BERNAMA