Najib tempelak DAP amalkan politik fitnah





KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak DAP yang mengamalkan politik fitnah dan propaganda menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu ini seperti didakwa oleh anggota parti tersebut.

Najib berkata anggota seumur hidup DAP, Amran Ahmad sendiri sudah membuat pengakuan bahawa beliau diarah untuk memburukkan imej Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan kerajaan.

"DAP kata kalau undi PKR maknanya sama dengan undi DAP dan beri mereka kuasa."

"Adakah kita mahu parti kilang fitnah seperti ini memimpin kita? Selama ini pernahkah DAP perjuangkan isu Felda, UiTM atau agenda Bumiputera? Mana ada!," kata Najib menerusi catatan di laman Twitter beliau, malam ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Amran yang tampil membuat laporan polis pada Sabtu.

Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur hari ini telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat laporan yang telah dibuat oleh Amran.

-- BERNAMA