Tolak pembangkang, elak peristiwa 11 bulan - Bekas Exco Perak




IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Rakyat Perak diingatkan supaya menolak pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini bagi mengelak peristiwa pahit sepanjang 11 bulan kerajaan negeri Perak dikuasai pembangkang pada 2008 berulang kembali.

Memberikan peringatan itu, Datuk Mohd Osman Mohd Jailu yang merupakan Exco kerajaan negeri semasa pentadbiran 11 bulan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika itu, berkata kerajaan negeri turut memberikan ruang kepada DAP untuk mendominasi semua perkara.

"DAP dalam mesyuarat kerajaan negeri pertama selepas menang PRU12 telah membangkitkan persoalan tentang jumlah elaun yang diterima Sultan Perak dan Kerabat Diraja Perak dan meminta pegawai kewangan negeri untuk membentangkan elaun yang dibayar secara terperinci.

"Saya selaku Exco pada masa itu berasa sedih dan terkilan kerana perkara seumpama itu mereka pertikaikan, bila dapat kuasa, peluang yang ada digunakan mereka," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Osman, 66, turut mendakwa Mohammad Nizar juga menjadi boneka dan hanya mengikut telunjuk DAP dengan meluluskan pemberian hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung-kampung baru di Perak.

Menafikan dakwaan bahawa penjelasan yang diberikannya itu didalangi pihak tertentu bagi memburukkan pembangkang, katanya : "Saya hanya nak beri kesedaran pada rakyat negeri Perak supaya berhati-hati dalam membuat keputusan dan menentukan siapa yang lebih layak untuk mentadbir negeri".

-- BERNAMA