BN yakin kerusi Parlimen Seremban dan PD mampu dirampas
SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Barisan Nasional (BN) berpotensi besar untuk merampas penguasaan DAP dan PKR di kerusi Parlimen Seremban dan Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.
Pengerusi BN Negeri Sembilan itu yakin dapat merampas kedua-dua kerusi itu berdasarkan kajian semasa menunjukkan ia positif kepada BN.
Menurutnya, kawasan Seremban dan Port Dickson (sebelum ini Teluk Kemang) ditandakan sebagai kawasan hitam kepada BN kini menjadi kelabu dan berazam menjadikan kawasan putih kelabu dan putih dalam tempoh 48 jam sebelum pilihan raya.
Beliau berkata jentera BN telah berkerja keras dan bertungkus lumus dalam memastikan kemenangan di dua kawasan Parlimen itu sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Pemimpin di sini, harin ini, yang dihadiri Ahmad Zahid, calon kerusi Parlimen Seremban yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon, serta calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ampangan, Temiang, Nilai, Lobak dan Lenggeng.
Mohamad, yang menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau, pada hari penamaan calon, Sabtu lalu, berkata Negeri Sembilan hendak menghadiahkan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu kepada kerajaan persekutuan untuk tubuh kerajaan yang lebih kukuh.
Pada PRU13, BN menang lima kerusi Parlimen iaitu Jelebu, Tampin, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol manakala DAP menguasai kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 12,553 undi, Rasah (majoriti 24,101 undi) manakala PKR menang kerusi Port Dickson dengan majoriti 2,422 undi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata BN negeri mengamal politik kesederhanaan selain menghindari budaya fitnah sepanjang tempoh kempen PRU14 berlangsung.
"Kita tak mahu caci mencaci dan fitnah-fitnah, orang nak kata apa biarlah yang penting kita buat kerja kita kerana rakyat nak tengok hasilnya," katanya.
-- BERNAMA