Najib yakin BN kekal kuasai Putrajaya selepas PRU14





PENAMPANG, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin BN akan kekal berkuasa di Putrajaya dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini berikutan penerimaan rakyat di seluruh negara.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat terhadap BN yang disifatkannya "luar biasa" , termasuk daripada Sabah dan Sarawak.

"Saya amat berkeyakinan… apatah lagi sokongan daripada (rakyat) Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain.

"Pasti kita akan menang. Yakinlah BN di peringkat pusat akan menjadi kawan sejati kepada orang-orang Sabah," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta calon Parlimen Penampang Caeser Mandela Malakun, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin dan DUN Kapayan Datuk Francis Goh.

Najib juga melahirkan keyakinan bahawa BN berpeluang untuk merampas semula kerusi Parlimen Penampang dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Moyog dan Kapayan, yang dimenangi pembangkang pada PRU13 lalu.

"Ini (semangat BN Penampang) meyakinkan saya bahawa Penampang ini kita ada peluang untuk menang. Dulu, kita kalah 0-3. Kali ini kita boleh menang 3-0, " katanya.

Najib juga memberitahu beliau mempunyai perancangan besar untuk Sabah selepas PRU14 ini.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada rakyat di Sabah untuk memberi mandat besar kepada beliau dan BN untuk menjayakan agenda pembangunan untuk negeri ini.

Najib juga berkata beliau kerap melawat Sabah dan mendengar keluhan rakyat di Sabah dan seterusnya, memberikan peruntukan besar untuk pembangunan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol.

Beliau juga menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri semula, tetapi "(Dr Mahathir) tidak pernah turun ke Sabah dalam kempen (PRU14)".

"Dia (Dr Mahathir) nak jadi perdana menteri semula, tapi satu hari pun tak kempen di Sabah.

"Kalau rakyat Sabah tak suka Dr Mahathir, tolak pembangkang dan sokong BN (dalam PRU14)," katanya.

Najib juga berkata seorang perdana menteri tidak boleh meminggirkan mana-mana negeri, termasuk Sabah.

"Maknanya, dalam kepala dia (Dr Mahathir) tak fikir 'urang' Sabah, dalam hati pun tak sayang 'urang' Sabah.

"Saya sayang Sabah. Sebab itulah saya bawa banyak peruntukan untuk pembangunan Sabah," kata Najib.

Perdana menteri turut memaklumkan BN berjanji akan mewujudkan satu unit hal ehwal khas bukan Islam untuk pertama kali yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, unit itu akan berfungsi sebagai rujukan kerajaan mengenai hal ehwal rakyat bukan Islam tanpa menjejaskan hak dan kedudukan rakyat Islam dalam perlembagaan.

"Pengwujudan bersama secara aman sebahagian daripada ajaran Islam," katanya.

Najib turut mengulangi kesediaannya untuk mengembalikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terambil oleh kerajaan Persekutuan.

"Kalau kita (kerajaan Persekutuan) sudah terambil hak Sabah dalam MA63, saya sedia kembalikan hak ini kepada Sabah," katanya.

-- BERNAMA