Ziarah Kubur Nik Abdul Aziz: Kepura-puraan politik Mahathir paling ekstrem - Najib




KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keikhlasan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba menziarahi kubur bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka, Kelantan hari ini.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai kepura-puraan politik paling ekstrem.

"Terdesak sampai yang dah meninggal pun nak dipolitikkan. Selama ini Tun Mahathir kutuk Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, hari ini dia cuba nak ziarah.

"Kalau betul ikhlas, kenapa tidak lawat selama ini? Kenapa tak tunggu lepas pilihan raya sahaja?," katanya di laman Twitter beliau, malam ini.

Pagi tadi, Dr Mahathir dihalang keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz daripada menziarahi tanah perkuburan bekas Mursyidul Am PAS itu.

Anak Allahyarham, Nik Adli bersama anggota keluarga serta sekumpulan penyokong PAS bertindak mengunci pagar tanah perkuburan tersebut dan pintu laluan masuk juga dihalang menggunakan sebuah lori.

-- BERNAMA