Tidak Mengejutkan DAP reka risalah dan video fitnah kerajaan dan PM
Datuk Seri Mohd Johari Baharum
KUBANG PASU, 6 Mei (Bernama) -- Tindakan DAP yang didakwa mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan serta pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengejutkan.
Penyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata malah banyak lagi perkara tidak betul di luar jangkaan dijangka akan disebarkan parti pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk meraih undi rakyat.
"Mereka sanggup melakukan segala-galanya demi kepentingan politik mereka, sama ada agama, bangsa dan lain-lain lagi. Pendedahan ini menunjukkan bahawa selama ini memang dah kerja mereka ini di dalam DAP," katanya kepada pemberita dekat sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP Amran Ahmad yang dipetik dalam laporan akhbar tempatan hari ini yang antara lain mendakwa antara fitnah yang sedang dan akan terus disebarkan DAP adalah berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Felda dan Tabung Haji.
Mengulas lanjut, Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata beliau yakin rakyat sudah menyedari fitnah parti pembangkang itu kepada kerajaan yang sering kali memainkan isu 1MDB kerana Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy telah pun memberikan penjelasan begitu baik tentang isu itu.
"Sekarang ini mereka dapati bahawa usaha mereka itu dah tidak lagi berkesan kerana rakyat dah sedar tentang apa yang mereka buat selama ini, sebab itulah akhir-akhir ini mereka (DAP) gunakan taktik kotor untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas parti itu mengikut Akta Antiberita Tidak Benar.
"Kita tak boleh biarkan apa yang berlaku di negara kita selama ini; tindakan kepada mereka yang menyebar berita yang boleh memecah-belahkan rakyat dan mengancam keselamatan negara," katanya.
-- BERNAMA