Kerajaan BN Terengganu yang tunaikan janji
KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dan konsisten menunaikan setiap janji yang dibuat dan bukan sekadar omong kosong untuk memancing perhatian rakyat.
Mengambil contoh pelaksanaan hukum hudud, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata rakyat perlu mempersoalkan mengapa perkara itu tidak terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) parti tertentu sedangkan ia dicanang-canang sekian lama.
"Kita persoalkan orang yang beria-ia nak buat hudud sedangkan dalam manifesto PRU tidak ada pun perkara itu.
"Dan kita pelik apabila apabila dengar dulu nak negara Islam, kemudian negara kebajikan dan sekarang pula gagasan sejahtera jadi tidak konsisten.
"Makna kata BN dari dulu, kini dan selamanya sentiasa konsisten dengan janji yang dibuat. Kita tidak perlu bising-bising bercakap tetapi kalau cakap kita buat," katanya pada sidang media majlis Pelancaran Pusat Komuniti Saadah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.
Mengenai pusat komuniti Saadah, Ahmad Razif berkata ia merupakan inisiatif yang dijalankan antara kerajaan negeri dan UniSZa dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di Terengganu.
Beliau berkata, pusat itu akan diuruskan oleh Pusat Penyelidikan dan Rawatan Ketagihan (CENTRENA) UniSZA dengan menggabungkan konsep rawatan baharu bagi merawat penagih dadah.
"Pusat komuniti ini berfungsi sebagai tempat latihan kepada pemimpin komuniti, wakil belia, guru dan pegawai agensi yang terlibat seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya.
"Pusat ini menekankan konsep pemulihan berciri Islamik dan melibatkan pembabitan banyak pihak," katanya.
Seramai 60 penagih akan mengikuti program pemulihan di pusat berkenaan secara sukarela dan mereka akan dipantau dengan Sistem Maklumat Geografikal (GIS) bagi mengesan sekiranya mereka masih mengambil bahan terlarang ketika berada dalam program terbabit.
-- BERNAMA