Kota Marudu perlu BN demi kesinambungan pembangunan




Gambar hiasan

KOTA MARUDU, 7 Mei (Bernama) -- Kerancakan pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) membuatkan rakyat di Parlimen Kota Marudu masih memerlukan parti itu demi kesinambungan agenda pembangunan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Wakil Ketua Anak Negeri Kota Marudu Sintom Kaganau, 61, berkata kerajaan yang diterajui BN telah membawa banyak pembangunan dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, peluang ekonomi dan prasarana rakyat di seluruh kawasan tersebut yang terletak di pantai barat utara Sabah.

"Sejak dahulu banyak pembangunan yang dilaksanakan di sini termasuk jaringan jalan raya yang baik menghubungkan daerah ini dengan daerah lain contohnya Jalan Kota marudu-Marak Parak-Ranau yang kini sangat memberi manfaat kepada penduduk kedua-dua daerah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain prasarana rakyat kerajaan juga berusaha mempertingkatkan sektor pendidikan di Kota Marudu dengan pembinaan beberapa lagi sekolah baharu di daerah itu baru-baru ini.

"Pada awal tahun ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau telah mengumumkan kelulusan pembinaan satu satu lagi sekolah baharu di daerah ini iaitu SMK Marak Parak membabitkan peruntukan berjumlah RM35 juta.

"Semua ini adalah hasil kerja kuat pemimpin BN di Kota Marudu, khususnya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga calon BN kerusi Parlimen Kota Marudu telah banyak membawa pembangunan di sini," katanya.

Mengulas mengenai calon BN di kawasan parlimen itu, Sintom yakin calon BN DUN Tandek Datuk Anita Baranting, calon BN DUN Matunggong Julita Majunki dan calon BN Parlimen Kota Marudu Ongkili yang juga Timbalan Presiden PBS mampu memperoleh kemenangan pada PRU14 ini.

Seorang pemimpin gereja di Kota Marudu, Pastor Jani Digi, 58, berkata kerajaan diterajui BN adalah yang terbaik untuk Kota Marudu.

"Sebagai rakyat kita sudah semestinya mahukan kerajaan yang membela nasib semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan suku kaum. Kita lihat selama ini kerajaan BN berjaya membawa kestabilan yang membolehkan semua rakyat di negara ini mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang halangan.

"Kalau kita lihat di Kota Marudu, kerajaan juga telah banyak memberi bantuan kepada gereja dan masjid. Ini jelas menunjukkan kerajaan membantu semua agama yang ada di Malaysia," katanya.

Beliau berkata pembangunan hanya dapat dilaksanakan menerusi keharmonian dan kestabilan apabila keadaan sesuatu tempat itu aman dan damai seperti yang dicapai kerajaan BN.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Manggaris Laut Kota Marudu Joes Delinsi, 52, berkata hanya kerajaan BN yang dapat memastikan pembangunan di Kota Marudu terus diperkasakan.

"Kami di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong sangat rugi kerana pada pilihan raya lepas DUN Matunggong jatuh ke tangan pembangkang dan pada kali ini kami akan pastikan BN merampas semula kerusi itu agar pembangunan dapat dilaksanakan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) DUN Matunggong yang juga kubu kuat BN telah jatuh ke tangan pembangkang apabila Jelani Hamdan daripada PKR menang dengan majoriti 320 undi, namun Jelani kemudiannya menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN.

Mengulas lanjut, Joes berkata sudah terbukti bahawa hanya kerajaan BN yang mampu melaksanakan pelbagai program demi rakyat.

"Antara program membantu rakyat yang dilaksanakan kerajaan di Kota Marudu adalah program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) yang bakal merealisasikan impian lebih 2,000 penduduk kampung di Zon Marak Parak untuk memiliki geran tanah adat pada awal tahun ini dan kawasan itu DUN Tandek yang dimenangi BN pada PRU13.

"Saya difahamkan program PANTAS yang dilaksanakan di Zon Marak Parak itu adalah sebahagian daripada 6,000 hektar yang akan dilaksanakan di seluruh Parlimen Kota Marudu. Saya berharap sebahagian program PANTAS itu akan dilaksanakan di DUN Matunggong apabila BN menang pada PRU14 ini," katanya.

-- BERNAMA