PRU 14: Jamawi akan perkasa sektor pertanian Kemabong




TENOM, 7 Mei (Bernama) -- Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong Jamawi Jaafar akan memberi fokus ke arah memperkasa pembangunan sektor pertanian kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Jamawi, 44, yang berpengalaman sebagai pegawai pertanian selain memiliki kelulusan dalam bidang sains pertanian daripada Universiti Pertanian Malaysia berharap dapat memantapkan lagi sektor pertanian Kemabong yang menjadi sumber pendapatan penduduk di situ.

Beliau berkata ini termasuk memberi nilai tambah kepada kualiti produk pertanian selain meningkatkan produktiviti serta pemprosesan hasil tanaman Kemabong menerusi amalan pertanian bersistematik dan akreditasi ladang bagi membolehkan penduduk memasarkan hasil pertanian mereka pada harga tinggi.

"Ini akan dapat melipatgandakan pendapatan penduduk. Jika kita dapat laksanakan, ia bukan sahaja mengangkat ekonomi orang kampung tetapi juga Kemabong akan menjadi pengeluar buah-buahan berkualiti dan pelbagai lagi komoditi utama di Sabah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia itu turut berharap sebuah kilang pemprosesan hasil pertanian diwujudkan di kawasan itu bagi mendokong impiannya melonjakkan potensi Kemabong sebagai pusat pengeluaran buah-buahan berkualiti satu hari nanti.

Di samping itu, hasil pertanian buah-buahan dari Kemabong juga akan dilabelkan dengan jenama 'Tenom' bagi mengiktiraf kualiti produk pertanian mereka seperti pisang, limau bali dan jambu batu supaya pasaran lebih luas dan berpotensi untuk dieksport keluar, katanya.

Jamawi berkata pihaknya akan memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperluas akses pemasaran serta kecekapan pemprosesan hasil pertanian dalam memberi keyakinan kepada pengguna terhadap kualiti hasil pertanian dari Kemabong.

Beliau yang turut mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pengurusan perladangan tanah tinggi dari Pusat Antarabangsa Hokkaido Jepun berkata potensi Rundum sebagai sebuah kawasan tanah tinggi di Kemabong juga akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk petani di situ mengusahakan tanaman tanah tinggi.

"Saya rasa ia (membangunkan Rundum sebagai kawasan tanaman tanah tinggi) akan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana sekarang jalan baharu telah dibina di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata rakyat Kemabong tidak hanya akan mendapat khidmatnya sebagai wakil rakyat tetapi juga khidmat nasihat dalam bidang pertanian jika beliau diberi peluang menerajui kepimpinan di DUN Kemabong pada pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu, Jamawi berkata beliau akan berusaha memastikan sebuah cawangan bank dibuka di Kemabong bagi memudahkan penduduk di kawasan tersebut kerana ketika ini perkhidmatan bank hanya terdapat di pekan Tenom.

Beliau juga berhasrat mewujudkan Yayasan Kemabong bagi melaksanakan aktiviti pendidikan dan kebajikan dengan lebih tersusun, selain terus memperkasa pembangunan belia Kemabong dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan latihan kemahiran.

Mengenai perjalanan kempen pilihan raya, beliau akan berjumpa dan bersalaman dengan rakyat Kemabong setiap hari sebagai cara mendekati pengundi, selain ia adalah titik sentuh yang amat baik untuk bersama-sama mereka.

Jamawi berkata golongan muda di Kemabong juga dilihat amat menghargai usaha pucuk pimpinan parti meletakkan calon pemimpin muda di kawasan itu apabila mereka komited menyokong dan menyertai beliau sepanjang berkempen.

"Saya juga yakin dan percaya hasil gerak kerja sepanjang berkempen ini penduduk Kemabong akan bersama BN," katanya.

Pada PRU14 ini, beliau berdepan tiga pencabar lain iaitu Yahya Raimah (Parti Harapan Rakyat), Haris Bolos (Warisan) dan Tay Jin Kiong @ Alfred (Parti Cinta Sabah) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Kemabong.

-- BERNAMA