Sia-sia saja pilih pembangkang ni! - Najib
BEAUFORT, 7 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat, khususnya di Sabah, supaya menolak parti pembangkang kerana dengan memilih parti yang ditubuh untuk cita-cita peribadi adalah sia-sia.
Sebaliknya, kata perdana menteri, rakyat perlu terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) kerana perjuangannya jelas demi kepentingan rakyat.
Parti pembangkang yang kini di pimpin Tun Dr Mahathir Mohamad yang selama 22 tahun menjadi perdana menteri, tidak perlu dipilih rakyat kerana selain beliau pemimpin kitar semula, beliau juga tidak banyak berjasa kepada rakyat Sabah sepanjang menjadi perdana menteri.
"Buat apa kita nak orang pencen (Dr Mahathir). Orang pencen tidak lagi sayang kepada orang Sabah. Dalam kempen 11 hari ini, dia tidak datang ke Sabah. Kenapa dia tidak datang ke Sabah? Sebab dia tidak banyak berjasa kepada orang Sabah.
"Orang Sabah masih ingat lagi. Orang Sabah tidak mudah lupa. Yang mudah lupa dia. Tetapi orang Sabah masih ingat lagi. Siapa yang lagi sayang kepada Sabah? Najib Razak atau Dr Mahathir?," tanya perdana menteri yang dijawab secara bergemuruh oleh hadirin - 'Najib'.
Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dataran Bagandang, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga calon kerusi Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias Datuk Isnin Aliasni dan Datuk Limus Juri calon BN DUN Kuala Penyu.
Menurut Najib yang juga Presiden UMNO, rakyat juga tidak perlu memilih parti simbol kapal layar (Parti Warisan Sabah) kerana untuk melayari lautan samudera yang bergelora, rakyat perlukan kapal besar dan moden.
"Satu lagi, parti kapal layar. Zaman sekarang kita tidak main kapal layar. Kita nak belayar lautan samudera, kita nak kapal moden. Kapal layari ni kecil. Main di tepi pantai sahaja. Kita ini parti yang besar. Parti dari Perlis hingga ke Sabah.
"Saya nak tanya tuan-tuan, kalau nak belayar lautan samudera, kita pilih kapal layar atau mahu pilih kapal besar, moden dan penuh dengan kekuatan?" Soal Najib dan dijawab Barisan´ oleh hadirin.
Najib mengulangi komitmennya untuk membangunkan Sabah yang diabaikan "oleh bekas perdana menteri yang berkuasa selama 22 tahun.
Katanya ketika perdana menteri berkenaan berkuasa, cadangan membina Lebuh Raya Pan Borneo ditolak namun projek itu diluluskan pada zaman beliau (Najib) malah Lebuh Raya Pan Borneo tidak bertol berbanding lebuh raya paling banyak tol pada zaman bekas perdana menteri itu.
Najib juga mengingatkan rakyat agar berwaspada dan tidak percaya dengan berita palsu atau tidak benar yang banyak tersebar kebelakangan ini untuk memburuk-burukkan kerajaan termasuk kononnya kerajaan sekarang bankrap.
"Jangan dengar berita palsu kerana banyak berita palsu sekarang yang tersebar luas kononnya negara kita ini bankrap. Itupun tidak benar.
"Hutang negara kita cuma 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Zaman orang yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun pernah sampai 103 peratus daripada KDNK. Kenapa tak persoalkan zaman dia. Kenapa berbohong sekarang ini?" soal beliau.
Perdana menteri berkata hutang negara Jepun ialah 235 peratus daripada KDNK negara itu, Singapura pula ialah 110 peratus daripada KDNK negara berkenaan manakala United Kingdom pula ialah 85 peratus daripada KDNKnya.
Sebab itu, kata Najib, Malaysia bukan negara gagal atau bankrap kerana ekonomi negara ini berjaya diurus dengan baik oleh kerajaan BN.
Pada majlis berkenaan, Najib turut menyatakan ada peruntukan RM15 juta untuk kawasan Parlimen Beaufort bagi pembinaan kemudahan-kemudahan asas rakyat di daerah itu.
-- BERNAMA