Van bergerak inisiatif BN Rembau tarik pengundi keluar mengundi
REMBAU, 7 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Rembau memanfaatkan hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan melakukan pelbagai inisiatif bagi menarik minat pengundi untuk keluar mengundi Rabu ini.
Antara usaha yang dilakukannya adalah dengan menampilkan van bergerak dilengkapi sistem pembesar suara menggunakan bahasa Melayu, Cina dan Tamil, mengajak masyarakat setempat keluar menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat BN Rembau, lagu Marilah Mengundi´ turut dimainkan bagi menaikkan semangat para pengundi.
Van berwarna putih yang memaparkan wajah calon-calon BN bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Rembau, menjelajah ke kawasan perumahan dan kampung serta lokasi tumpuan seperti pasar tani dan kedai.
Terdapat lapan petugas yang turut mengedarkan manifesto dan laporan prestasi BN kepada orang ramai di semua lokasi yang disinggahi van berkenaan.
-- BERNAMA