Bukit Gantang bakal miliki Bandar Baharu
Oleh Nadia Jumri
BUKIT GANTANG, 7 Mei (Bernama) -- Penduduk di daerah ini bakal mempunyai bandar baharu sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Calon BN bagi kerusi Parlimen itu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata jika rancangan tersebut dapat direalisasikan, pembinaan Bandar Baharu Simpang Raya dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk sekitar termasuk peluang pekerjaan.
Membawa slogan Maju dan Hebatkan Bukit Gantang´, beliau berkata pembinaan bandar baharu ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pinggir bandar sekali gus memastikan 70 peratus kawasan luar bandar di sekitar Bukit Gantang dimajukan.
"Selain itu pembinaan bandar baharu ini secara langsung akan menjadi mercu tanda ekonomi selain turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan untuk generasi muda di kawasan ini.
"Kami juga merancang untuk membuka pusat penjagaan warga emas. Malah kami juga memberi jaminan akan cuba mengatasi masalah kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang terhad di sini," katanya kepada Bernama.
Syed Abu Hussin Hafiz, 58, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata pendekatan yang digunakan BN adalah berorientasikan perkhidmatan dan bukan sekadar menjadi pemimpin bermusim´ yang hanya menunjuk muka ketika pilihan raya.
"Selama dua penggal kawasan sini dikuasai PAS, pelbagai masalah penduduk tidak diselesaikan termasuk masalah masjid dan surau. Ini mengecewakan penduduk," katanya.
Anak tempatan dari Kampung Kota Barat itu juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan apabila menjadi Pengerusi Yayasan Al-Fasal dan Ahli Kehormat Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID).
Beliau juga yang juga dikenali dengan jolokan Tok Syed´ disambut baik penduduk kampung ketika berkempan sekitar kawasan parlimen berkenaan dan ia memberi kelebihan kepadanya untuk memenangi hati pengundi pada PRU14.
"Rata-rata penduduk di sini saya dah kenal lama, jadi saya berinteraksi dengan mereka baik dari segi penduduk kampung, ketua-ketua kampung malah dengan kesemua jentera-jentera yang berkhidmat di bilik-bilik gerakan yang ada," katanya.
Pada pilihan raya ini, Syed Abu Hussin Hafiz berdepan penyandang Idris Ahmad daripada PAS dan Datuk Khadri Khalid (PKR-PPBM).
Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong dengan jumlah keseluruhan pengundi 69,873.
-- BERNAMA