Sentiasa dapat perhatian kerajaan BN - Masyarakat Siam




Oleh Shanika Abdul Latib



BALING, 7 Mei (Bernama) -- Masyarakat Siam di daerah ini yang kebanyakannya petani mahukan kehidupan yang lebih baik terutamanya anak-anak mereka yang diyakini dapat dicapai menerusi bidang pendidikan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Apoon Din, 56, berkata, sebagai anak jati Baling berketurunan Siam, dia memang mengharapkan anak-anaknya dapat bersekolah dengan baik sehingga ke peringkat lebih tinggi.



"Bila wujudnya kampus Universiti Teknologi Mara (UITM) di Kampung Bandar nanti, saya yakin lebih ramai anak-anak Siam termasuk anak saya sendiri akan dapat pendidikan tinggi yang seterusnya mampu mengubah masa depan masyarakat ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Apoon merupakan penduduk Kampung Siam Simpang Empat, antara penempatan terbesar masyarakat Siam di Baling dengan jumlah lebih 600 orang, menaruh harapan tinggi agar anak-anaknya tidak lagi menjadi petani atau bekerja kampung.

Katanya, dia mahu generasi muda masyakat Siam menjadi pakar dalam pelbagai bidang walaupun mahu meneruskan warisan keluarga untuk bertani dengan menjalankan pertanian moden.

"Saya yakin, semua benda ni hanya akan dapat dilakukan melalui kemenangan calon Barisan Nasional yang sudah buktikan selama ini memberi perhatian (terhadap keperluan masyarakat Siam) dengan pelbagai cara.

"Setakat ini, mereka (wakil rakyat BN) dah bantu membina dan baiki 40 buah rumah, wat Siam dan infrastruktur lain termasuk bekalan elektrik dan sudah tentu kami percaya yang mereka akan terus melakukannya jika mereka menang," katanya.



Ampai Prom Riang, 35, pula berkata rata-rata penduduk di sini mahu BN kekal walaupun pembangkang sering masuk dan cuba mempengaruhi mereka,

"Kami pilih pemimpin yang setia dengan kami kerana itulah sifat utama kaum kami. Jika orang buat baik dan amanah, kita setia dengannya," katanya.



Dalam pada itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Mohamed Noor Mohamed Amin berkata, dia yakin penerimaan masyarakat Siam terhadap dirinya yang bertanding sebagai muka baharu berdasarkan pengalamannya yang sudah lama bergaul dengan masyarakat itu.



"Di sini adalah satu daripada peti undi yang sentiasa membawa kemenangan buat BN dalam setiap pilihan raya dan sekali lagi kita mengharapkan perkara itu berlaku di sini.



"Saya ada keyakinan penuh dengan masyarakat Siam walaupun mereka golongan minoriti. Kesetiaan mereka tidak pernah berbelah bagi dan jika mereka memberi undi kepada kita, sudah pasti kita akan balas dengan menjaga kebajikan mereka," katanya.



Mohamed Noor akan berdepan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini dengan calon PAS Abdul Nasir idris dan Abdul Rahim Kechik@Wan Chin (PKR-PPBM).

-- BERNAMA