Daerah Baharu Bagan Datuk rancak membangun
Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek
BAGAN DATUK, 7 Mei (Bernama) -- Kawasan Parlimen Bagan Datuk yang dahulunya dikenali sebagai pekan koboi sejak 60 tahun lepas kini antara kawasan yang pesat membangun di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pelantikan penyandang kerusi Parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 melonjakkan lagi pembangunan di kawasan tersebut.
Pelbagai projek pembangunan dan kemudahan infrastruktur telah dan sedang dibangunkan di sini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan berjumlah RM3 bilion di daerah baharu itu.
Antara projek pembangunan yang akan siap sepenuhnya antara tiga hingga 10 tahun ialah Politeknik Bagan Datuk, Kompleks Sukan Bagan Datuk, Maktab Rendah Sains Mara dan Projek Perumahan Rakyat.
Selain itu, Bagan Datuk akan menjadi hab automotif terbaharu di Malaysia yang akan dikendalikan oleh Hub Automotif dan Kenderaan Komersil Tan Chong dengan pelaburan berjumlah RM500 juta dan dijangka beroperasi pada 2021.
Seorang penduduk, Safiah Sarip, 54, dari Kampung Kota di Hutan Melintang berkata komitmen yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid sebagai wakil rakyat untuk membangunkan daerah berkenaan wajar dipuji dan dicontohi oleh pemimpin BN yang lain.
"Apa yang saya tahu Datuk Seri (Ahmad Zahid) sentiasa menitikberatkan aspek kesejahteraan dan kemakmuran penduduk di sini dalam memenuhi keperluan pembangunan bagi menjadikan Bagan Datuk daerah maju di negeri ini.
"Berbanding pembangkang yang hanya menunjukkan muka lima tahun sekali untuk menghasut penduduk di sini supaya membenci BN tetapi kami (penduduk) tahu menilai yang mana kaca dan yang mana permata," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Bagi P. Barathi, 47, dari Ladang Batu 25, Rungkup berkata dia sekeluarga tetap menyokong kepimpinan BN sejak dahulu yang banyak membantu meningkatkan taraf hidup dan pendidikan masyarakat India di sini.
"Kita boleh lihat pembangunan berlaku di kawasan Rungkup yang sebelum ini dipenuhi pokok kelapa dan semak samun, namun sejak Datuk Seri menjadi timbalan perdana menteri, banyak projek yang dia rancang untuk rakyat," katanya.
Ahmad Zahid yang dalam misi mempertahankan Parlimen Bagan Datuk untuk penggal keenam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).
Sementara itu, calon muka baharu BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi bukanlah nama asing bagi penduduk kerana beliau telah menjadi 'wakil rakyat' di kawasan itu sejak empat tahun lepas.
Khairuddin, 54, anak kelahiran Bagan Datuk yang bertugas sebagai pegawai khas kepada Ahmad Zahid berkata beliau telah lama melaksanakan tanggungjawab dan gerak kerja bagi membantu menyelesaikan isu serta mengenal pasti masalah penduduk.
"Dengan gerak kerja yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu, saya sebagai calon muka baharu menaruh keyakinan DUN Hutan Melintang yang dipegang pembangkang sejak dua penggal dapat dirampas kembali oleh BN," katanya.
Khairuddin bakal ditentang Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Mishbahul Munir Masduki dan G. Manivannan Govindasamy (PKR) pada PRU14.
Sementara itu, calon BN bagi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa tanpa mengira musim merupakan kunci utama menentukan kejayaan BN di Bagan Datuk.
"Kami (BN) sentiasa ikhlas membantu rakyat di sini dan tanpa berniat riak atau takbur, rakyat boleh menilai sendiri perkhidmatan yang telah kami laksanakan," katanya yang bakal berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Hatim Musa (PKR) dan Mohd Mohkheri Jalil (PAS).
-- BERNAMA