BN Terus Bantu Tingkat Ekonomi Belia Termasuk Di Luar Bandar
Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA KUBU BHARU (Bernama) -- Ogahanesh P.S. Samy bukan nama asing di kawasan Hulu Selangor yang juga tempat kelahirannya.
Beliau adalah Ketua Pemuda MIC Ampang Pecah dan sentiasa tampil dengan pelbagai idea untuk memperkasakan golongan muda.
Walaupun bukan calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU14) tetapi kelibatnya pasti dapat dililihat pada setiap program membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor.
Berbakti kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama sudah menjadi sebahagian daripada hidup pemuda berusia 33 tahun ini.
Beliau yang juga penerima Anugerah Belia Negeri Selangor 2018 sentiasa optimis untuk mengemukakan suara anak muda terutama kepada pucuk pimpinan atasan negara.
BANTU LAKSANA PROGRAM KERAJAAN
Membantu meningkatkan ekonomi orang muda terutama yang tinggal di luar bandar adalah antara usaha yang giat dilaksanakan sejak hampir lapan tahun bergerak aktif bersama pelbagai pertubuhan belia.
Menyokong dasar kerajaan dalam membantu masyarakat luar bandar, Ogahanesh yang juga Pengarah Operasi Akademi Sekolah Memandu P.S Samy Sdn Bhd menggunakan platform yang ada untuk membantu orang muda.
Antara yang dilaksanakan di institut memandu milik keluarganya adalah program myLesen di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu belia berumur lebih 16 tahun untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal kelas B2.
Beliau memberitahu Bernama, dengan hanya membayar RM299, belia yang berumur lebih 16 tahun tidak kira tinggal di kawasan bandar atau luar bandar boleh mengikuti kursus menunggang motosikal bagi mendapatkan lesen B2.
Menurut beliau, usaha yang diperkenalkan kerajaan BN sudah tentu memberi keselesaan kepada orang muda yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, untuk memiliki lesen yang sah.
"Apabila kerajaan melaksanakan program ini, kita di institusi memandu menyokong usaha berkenaan untuk membantu anak muda di Hulu Selangor bagi memudahkan mereka memiliki lesen terutama yang kurang mampu.
"Dengan mengikuti kursus yang ditetapkan, kita memberi pendidikan tentang undang-undang jalan raya serta etika pemanduan yang selamat bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya," katanya, yang juga Naib Pengerusi Majlis Belia Selangor.
TINGKATKAN EKONOMI ANAK MUDA
Akademi sekolah memandu P.S Samy juga melaksanakan program myLesen GDL/PSV yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Nasional Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi menampung kekurangan pemandu haulier dan bas.
Menurut Ogahanesh, apa yang dilakukan kerajaan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan orang muda terutama di luar bandar yang kebanyakan hanya memperoleh gaji minimum RM1,000-RM1,500 sebulan.
Peserta tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran bagi mendapatkan lesen GDL/PSV kerana ditanggung kerajaan. Bukan itu sahaja peserta juga diberikan elaun RM300 sebulan sepanjang tempoh tiga bulan latihan itu.
"Peserta akan diberikan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih terjamin antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan. Sudah tentu langkah ini dapat meningkatkan taraf ekonomi," katanya.
Sehingga kini 18 peserta mengikuti kursus berkenaan sejak awal bulan April ini dan institut memandunya menyasarkan untuk melatih 500 peserta bagi program itu.
"Ini sebahagian daripada khidmat sosial syarikat kami bagi menyokong usaha kerajaan. Dengan kemudahan yang terdapat di sini, ia boleh dimanfaatkan untuk memajukan anak muda," katanya yang bakal membuka akademi memandunya sendiri di Bukit Beruntung tahun hadapan.
Beliau berkata kerja tolak tanah untuk projek berkenaan telah dimulakan dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada 100 orang muda di sekitar kawasan berkenaan.
Ia akan menjadi institut memandu yang berteraskan aspirasi anak muda, katanya.
BANYAK PELUANG DIBERIKAN
Ogahanesh turut berkongsi pandangan mengenai usaha memperhebatkan orang muda dalam manifesto Pemuda BN yang ditawarkan dalam PRU14 dan percaya ia akan menjadi kesinambungan daripada usaha yang dilakukan kerajaan sebelum ini.
Sebagai penggerak belia di peringkat akar umbi, beliau melihat lapan jaminan dalam manifesto itu sangat realistik dengan keadaan semasa yang meliputi semua orang muda tidak kira dari bandar atau luar bandar, sama ada bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.
Jaminan itu adalah penyediaan pekerjaan dan latihan orang muda, meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda, memperkasa ekonomi belia luar bandar dan memudahkan usahawan muda mendapat bantuan, meringankan beban keluarga muda, menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
"Kesemua inisiatif yang ditawarkan Pemuda BN menerusi jaminan itu dilihat sangat menambat hati orang muda terutama peluang pekerjaan dan latihan dalam masa enam bulan sahaja.
"Ini keperluan mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang tetap bagi menampung kehidupan terutama mereka yang bukan berpendidikan tinggi," katanya.
Pemegang ijazah Kejuruteraan Mekatronik ini turut yakin usaha menyokong usahawan tani dan nelayan muda luar bandar akan memberi peluang kerjaya yang lebih terbuka kepada mereka untuk terus membangunkan luar bandar tanpa perlu berhijrah ke bandar.
"Saya tertarik dengan portal YEN (Youth Entrepreneurial Network) yang menghimpunkan semua badan kerajaan yang membantu usahawan dalam satu pautan yang bertujuan mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan kelulusan bantuan kerajaan.
"Ini sangat membantu usahawan muda," kata Ogahanesh yang turut berharap orang muda membuat pilihan yang tepat pada PRU14 ini.
BERNAMA