Pembinaan Hospital Pasir Gudang bukan gimik pilihan raya - Khaled
JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Projek pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini bukanlah gimik pilihan raya sebaliknya membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji mereka.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hospital baharu di Bandar Seri Alam itu dibina dengan kos permulaan sebanyak RM500 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.
"Percaya atau tidak projek ini akan berjalan, kritikan dalam media sosial mereka tidak percaya dan anggap ini gimik pilihan raya, tetapi di bawah kepimpinan saya tidak terlibat dengan gimik lebih-lebih lagi pembinaan hospital ini di dalam kawasan saya.
"Kita bertanggungjawab dan sentiasa merancang bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya masyarakat setempat di Pasir Gudang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah hospital berkenaan di Bandar Seri Alam, di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohamed Khaled, hospital baharu itu kelak dapat mengurangkan kesesakan di dua hospital besar Johor
Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI)
sebanyak 30 peratus.
Katanya permohonan pembinaan hospital itu dilakukan sejak 2014 berikutan permintaan yang tinggi daripada masyarakat bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di kedua-dua hospital terbabit.
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2016 mengumumkan kelulusan bagi pembinaan Hospital Pasir Gudang.
Mohamed Khaled berkata lokasi pembinaan hospital berkenaan juga pada mulanya ditempatkan di Taman Cendana namun Bandar Seri Alam dipilih berikutan kawasan asal jauh dari kawasan perindustrian.
"Pasir Gudang terletak di timur wilayah Iskandar dan menjadi penyumbang kepada pertumbuhan yang pesat dengan pelbagai kategori masyarakat berada di kawasan ini.
"Atas sebab itu kita beri tumpuan kepada soal kualiti dan mutu pelbagai kemudahan dan jenis perkhidmatan yang akan disediakan," katanya.
Lebih utama, Mohamed Khaled berkata, Hospital Pasir Gudang ini akan menjadi sebuah hospital pakar utama yang menempatkan ramai pakar dalam pelbagai bidang perubatan.
Pembinaan hospital bertaraf hospital pakar utama itu berkeluasan 20 hektar dan dilengkapi 304 buah katil dan 14 perkhidmatan pakar seperti General Medicine and Related Specialities, patologi, ortopedik dan Perubatan Forensik.
"Tapak hospital ini hanya berkeluasan 25 ekar (10 hektar) dan selebihnya boleh dibangunkan untuk projek yang akan datang.
"Kemudahan lain seperti kuarters, hostel jururawat, bangunan sokongan serta bangunan mekanikal dan elektrikal juga akan dibina di dalam tapak hospital itu," katanya.
-- BERNAMA