Keluar awal mengundi - Shahidan




ARAU, 7 Mei (Bernama) -- Pengundi di Perlis dinasihatkan supaya keluar lebih awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu ini memandangkan cuaca buruk diramal berlaku pada sebelah petang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang, terutama dengan cuaca buruk pada waktu petang boleh menyebabkan pemilih berdaftar terlepas peluang untuk mengundi.

"Kami (calon BN) juga akan keluar seawal mungkin sebelum 12 tengah hari dan kita juga akan menggerakkan pengundi kita agar keluar awal," katanya kepada pemberita selepas meninjau Jualan Sentuhan Rakyat di Pauh dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata jentera BN negeri kini berada pada optimum dan akan terus melakukan gerak kerja tanpa menghiraukan sebarang serangan pembangkang sehingga ke saat terakhir tempoh berkempen.

"Kalau boleh saya juga minta jentera BN hancurkan poster yang tidak betul (jika ada) atau buat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

-- BERNAMA