Pengundi tolak calon luar, BN berpotensi rampas Temerloh
Oleh Noor Shamsiah Mohamed
TEMERLOH, 7 Mei (Bernama) -- Sepenggal diwakili PAS yang juga ?orang luar' menjadi pengajaran berharga buat pengundi di kawasan Parlimen Temerloh kerana kata mereka wakil rakyat yang dipilih bukan sahaja gagal menjaga kebajikan penduduk tetapi juga ?hilang? apabila daerah itu dilanda musibah.
"Koi serik dah nak ngundi calon luar nipu koi jer, pedo'oh lalu (Aku dah serik nak mengundi calon luar, menipu aku je)," kata seorang penduduk, Ahmad Zailani Junoh, 53, ketika ditanya mengenai kehadiran calon luar di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) ini.
Menurutnya mereka melakukan kesilapan besar apabila memilih Nasrudin Hassan pada PRU13 lalu yang menghilangkan diri selepas menang dan langsung tidak bertanya khabar walaupun ketika penduduk dilanda bencana banjir dan ribut.
"(Sekarang) PKR letak calon luar Anuar Tahir yang dia sendiri akui berat untuk bertanding di sini, namun terpaksa mengikut hasrat pucuk pimpinan negeri. Macam kita nak harap dia menjaga rakyat Temerloh sedangkan hatinya pun tidak ada di sini.
"Jika menang, adakah dia sanggup menetap di sini untuk dengar keluh kesah kami? Lihat sahajalah calon PAS yang dipilih sebelum ini, selepas kami memilih dia sebagai wakil rakyat, dia terus menghilang tanpa berita, cukup-cukuplah tipu kami," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pendapat yang sama turut dikongsi oleh seorang anak muda Hassanal Bolkiah Hassan Basri 34, yang mendakwa menjadi antara individu yang mengetuai jentera akar umbi pembangkang bermula 2004 hingga 2013 bagi memenangkan pembangkang ketika itu.
"Selepas menang Nasrudin langsung tidak menjenguk kami anak muda yang membantu kemenangannya. Kami anak muda berambut panjang bermain papan luncur yang memasang bendera PAS di serata ceruk bandar, kampung dan taman perumahan.
"Gerakan kami jugalah yang berjaya menarik sokongan anak muda bukan daripada aliran agama untuk menyokong pembangkang, tetapi mereka tidak pernah menghargai kami, apabila pembangkang mula berpecah anak muda kecewa, dan kini ramai yang kembali kepada BN," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan penyandang kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed kerana mengkhianati kepercayaan penduduk apabila menang atas tiket PAS pada PRU13 namun menyertai Amanah selepas itu.
Penolakan pengundi terhadap calon luar sudah pasti menjadi berita gembira buat calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang bukan sahaja anak tempatan tetapi juga
wakil rakyat berpengalaman kerana telah mewakili DUN Lanchang sejak 1999.
Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Kajian dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rosmadi Fauzi berkata langkah BN meletakkan anak tempatan berpengalaman di kerusi Parlimen tersebut berupaya memberi keputusan yang diinginkan.
"Kita lihat PRU14 kali ini mencipta sejarahnya tersendiri di Temerloh apabila buat pertama kali melibatkan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PAS, PKR serta dua calon Bebas dan ini akan menimbulkan perasaan keliru dalam kalangan pengundi kali pertama.
"Bagaimanapun langkah BN meletakkan calon tempatan yang cukup dikenali rakyat tempatan memberi kelebihan kepada parti itu memandangkan Mohd Sharkar lebih tahu permasalahan setempat dan apa yang dikehendaki rakyat di situ.
"Berbeza dengan pembangkang, mereka meletakkan calon luar yang berpindah-randah sedangkan rakyat mengharapkan wakil rakyat yang boleh menjanjikan kesinambungan pembangunan yang sudag tentunya tidak dapat diberikan oleh wakil rakyat pembangkan mahupun bebas," katanya.
Selain Mohd Sharkar dan Anuar, tiga lagi calon yang 'berentap' di Parlimen Temerloh ialah Md Jusoh Darus (PAS) dan dua calon Bebas iaitu Fakhrudin Abu Hanifah serta bekas Ketua Pengarang Berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad.
Temerloh mempunyai 75,081 pengundi dengan 49,910 pengundi Melayu (66.47 peratus), 16,911 pengundi Cina (22.5 peratus), 6,089 pengundi India (8.11 peratus) dan selebihnya lain-lain termasuk Orang Asli dan bumiputera Sabah serta Sarawak.
--BERNAMA