Undi penentu masa depan negara bangsa - Lam Thye
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Aktivis sosial dan bekas Anggota Parlimen Tan Sri Lee Lam Thye menyeru semua rakyat Malaysia yang layak keluar mengundi pada 9 Mei ini bagi menunaikan tanggungjawab asas mereka untuk menentukan masa depan negara.
Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang, malah menentukan nasib negara dan generasi akan datang.
"Tiada gunanya menangisi nasib selepas keputusan diumumkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Memetik ungkapan novelis Amerika Syarikat, Louis Dearborn L'Amour, Lam Thye berkata demokrasi hanya akan berhasil jika rakyat turut terlibat dalam proses mengundi dan bukan sekadar memerhati, malahan mereka yang tidak mengundi tiada hak untuk merungut.
Beliau juga merasakan kebanyakan rakyat telah memutuskan untuk mengundi dan siapa yang harus dipilih.
Namun, beliau tetap menasihatkan supaya mereka berfikir dengan serius dan membuat keputusan yang bijak dan kritikal demi kepentingan negara serta masa depan.
"Undilah calon yang efektif, ikhlas, jujur, berdedikasi dan komited berkhidmat. Pengundi perlu melihat prestasi semua calon termasuk mereka yang mempertahankan kerusi," katanya.
Paling penting, Lee berharap pengundi akan memilih calon yang mempunyai integriti bagi membantu membasmi rasuah dan salah guna kuasa.
-- BERNAMA