PRU14: SPR Johor sedia pas PACA mencukupi
JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor membekalkan pas bagi ejen tempat mengundi dan kira undi (PACA) yang mencukupi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Shafie Taib berkata kira-kira 100,000 pas PACA dibekalkan bagi ejen-ejen yang akan mewakili 247 calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini bagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) Johor.
"Muncul isu SPR tidak membekalkan pas PACA yang mencukupi dan ada yang datang membuat aduan, mungkin pada peringkat bawah bila pas itu diedarkan di pejabat pengurus kemungkinan ada kesilapan komunikasi dan ada antara parti-parti yang ingin menambah pas.
"Perlu diketahui bahawa satu calon layak satu pas bagi setiap saluran, mungkin untuk pertukaran (syif), kita akan tambah satu lagi, jadi dua pas untuk satu saluran," katanya ketika ditemui di Pejabat SPR Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai parti pembangkang yang membuat aduan bahawa terdapat calon mereka di negeri ini yang tidak menerima pas ejen mencukupi daripada SPR negeri.
Shafie berkata pihaknya akan sentiasa memberi bantuan dan menyelesaikan masalah calon yang tidak mempunyai pas ejen yang mencukupi dan sentiasa menyediakan bekalan pas untuk sebarang kemungkinan.
Sementara itu, mengulas mengenai pengundian awal pada dua hari lepas, beliau berkata sebanyak 80 peratus atau 26,800 pemilih berdaftar telah keluar mengundi.
"Saya sangat berpuas hati semasa perjalanan undi awal dua hari lepas kerana semuanya berjalan dengan lancar dan tiada berlaku insiden besar atau pergaduhan. Diharapkan situasi sama juga berlangsung pada hari mengundi pada 9 Mei ini," katanya.
Beliau turut menyasarkan lebih 80 peratus daripada 1.8 juta pengundi berdaftar, termasuk 250,000 pengundi baharu, di seluruh negeri akan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini.
"Kita dapati jumlah pengundi berdaftar di negeri ini meningkat berbanding 1.5 juta pada pilihan raya lepas," katanya.
Shafie berkata sebanyak 30,000 petugas SPR akan ditempatkan di 3,500 saluran mengundi di seluruh negeri ini dan pusat pengundian akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang.
-- BERNAMA