Hishammuddin harap BN menang PRU14 dengan sokongan semua kaum





KLUANG, 7 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini atas sokongan pengundi pelbagai kaum.

Katanya beliau bimbang jika kemenangan itu hanya atas sokongan kaum tertentu.

"Saya sudah nyatakan dahulu lagi, saya tidak takut kalah. Dalam politik, ada kalah dan menang. Saya sebenarnya takut menang...menang tanpa sokongan semua kaum.

"Saya haraplah dalam PRU14 ini, Insya-Allah kalau kita (BN) dapat mandat yang besar, termasuk dalam mandat itu ialah sokongan dan undi daripada masyarakat Tionghoa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tok Batin Besar Pulang Berjelos (Tok Batin Besar Pulang Bertandang) di Kampung Orang Asli Punjut di Kahang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang R. Vidyananthan dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Orang Asli Kahang 2, Sari Achu.

Hishammuddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong berkata beliau dan kerajaan BN sudah melakukan yang terbaik untuk seluruh rakyat termasuk pengundi di bawah Parlimen Sembrong iaitu DUN Kahang dan DUN Paloh.

"Sekiranya pengundi Cina membuat pendirian untuk tidak bersama dengan kita (BN), maka saya cukup sedih.

"Lebih-lebih lagi di Paloh dan Kahang ini, kita sudah cuba sedaya upaya untuk memastikan keperluan mereka (pengundi) kita ambil perhatian dan telah pun kita tunaikan," katanya.

"Menyifatkan dirinya sebagai 'Tok Batin Besar' manakala Vidvananthan sebagai 'Tok Batin Kecil', Hishammuddin berkata beliau juga akan memastikan agenda pembangunan masyarakat Orang Asli di Sembrong seperti pendidikan dan bekalan air, akan terus dibela.

Pada masa sama, Hishammuddin turut menasihati pengundi di seluruh negara agar tidak terpedaya dengan fitnah yang ditimbulkan pihak tertenu, khususnya pada hari-hari terakhir kempen PRU14 ini.

-- BERNAMA