Zahid selar bekas pemimpin BN sokong pembangkang
SEPANG, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas pemimpin-pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) yang kini menyokong pembangkang supaya jangan berlagak sombong dan merasakan diri mereka hebat.
Beliau berkata mereka menjadi hebat kerana peluang dan sokongan yang diberikan rakyat serta parti semasa mereka menjadi pemimpin negara ketika itu.
"Bila dipilih menjadi ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen, jangan berlagak. Kita menang bukan kerana kita hebat, termasuk bekas-bekas menteri yang kini menyanggah kita.
"Mereka hebat sebab kita yang menyokong mereka, sebab parti kita. Sebab BN mereka jadi hebat," katanya semasa bertemu dengan anggota jentera BN Parlimen Sepang di sini, hari ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa bekas menteri UMNO yang secara terbuka menyokong Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Ahmad Zahid berkata hakikat yang sama juga berlaku dengan pemimpin pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad, yang semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun telah mencetuskan pelbagai masalah termasuk dengan Institusi Raja-raja, institusi kehakiman serta negara-negara asing.
"Kita yang hebatkan orang itu. Kita adalah rakyat yang walak, rakyat yang setia. Kita dukung. Kita dalam UMNO dan BN yang menghebatkan (mereka), katanya.
Beliau berkata Dr Mahathir kini menentang kerajaan BN kerana masih ada perkara yang diingininya belum tercapai.
"Sebab ada yang dikejarnya dan belum diperoleh lagi. Dia mahu darah keturunannya mengambil alih tempatnya.
Parti bukan pusaka. Parti adalah hak rakyat. Kita berada sebagai pemimpin parti kerana rakyat memilih kita, bukan kerana kita hebat," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru jentera BN dan pengundi supaya berwaspada dengan tsunami fitnah yang digerakkan pembangkang pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian Rabu ini.
Beliau berkata BN sebelum ini telah kalah dua kali di Selangor kerana fitnah pembangkang.
"Fitnah sekarang berleluasa, sebab itu kita kena berwaspada," katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam mengadakan solat hajat manakala masyarakat lain mengadakan upacara keagamaan masing-masing dalam menghadapi tsunami fitnah yang didalangi pembangkang.
Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN bagi Parlimen Sepang Datuk Marsum Paing serta calon DUN Tanjong Sepat Datuk Dr Karim Mansor, calon DUN Dengkil Shahrum Mohd Shariff dan calon DUN Sungai Pelek Datuk Ng Chok Sin.
-- BERNAMA