PM Najib naik pesawat AirAsia papar tema manifesto BN PRU14
KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini dengan pesawat AirAsia yang memaparkan slogan 'Hebatkan Negaraku', tema manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perdana menteri yang menamatkan lawatan dua hari di Sabah, turut bergambar bersama-sama pemimpin Sabah dengan berlatarbelakangkan pesawat A330-300 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum menaiki pesawat itu untuk pulang ke ibu negara.
Najib tiba di lapangan terbang itu pada kira-kira 4 petang selepas lawatannya di Kota Marudu bagi menghadiri program majlis pemimpin bersama rakyat.
Beliau diiringi dua Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman serta beberapa pegawai kanan kerajaan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
Dalam lawatan dua hari itu, Najib menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Hongkod Koisaan Penampang, melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau dan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Beaufort dan Kota Marudu.
-- BERNAMA