Peluang sama rata BN-PH di Pagoh





Oleh Syamsiah Sahat

MUAR, 7 Mei (Bernama) -- Berbaki dua hari lagi berkempen, kerusi panas Parlimen Pagoh P143, menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersaing sengit untuk menang.

Penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertanding sebagai pembangkang masih meninggalkan kesan peribadi kepada pengundi kerana menjadi wakil rakyat kawasan itu dalam tempoh yang lama menyebabkan undi masih boleh berpihak kepadanya.

Namun faktor pengundi yang memandang pembangunan Pagoh adalah daripada parti yang memerintah iaitu BN dan bukan individu tidak boleh dipandang remeh.

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata melalui tinjauannya sendiri ke kawasan berkenaan ada menunjukkan potensi kawasan 'hitam' itu kini bertukar menjadi 'kelabu'.

"Pada peringkat awal, didapati pengundi memang berbelah bahagi masih mahu memberi undi kepada penyandangnya kerana jasa pemimpin itu dahulu, namun sejak beberapa hari kempen pengundi mula berfikir bahawa jasa parti BN adalah penting bagi meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan. Ia akan menjadi pertembungan hebat antara BN dan PH di kawasan itu nanti," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Seorang lagi pengalisis, Pengerusi Biro Sosio Budaya Majlis Perundingan Melayu Prof Emiritus Datuk Dr Zainal Kling turut berkongsi pandangan sama dan menambah kata kempen serta kerja keras BN di saat akhir seperti menurunkan pimpinan tertinggi ke kawasan Pagoh mungkin boleh membantu kemenangan BN di kawasan Parlimen itu.

"Di sini, ia akan menguatkan lagi pandangan pengundi mengenai jasa parti BN dan UMNO, dan ini menjadikan peluang 50-50," katanya.

Ulasnya, lagi dengan pertandingan tiga penjuru dengan satu lagi parti iaitu PAS yang membawa calon muda Ahmad Nawfal Mahfodz, kelebihan juga mungkin berpihak kepada BN.

Pagoh bakal menyaksikan penyandangnya Muhyiddin yang kini berada di pentas PH ditentang 'anak didik' nya yang kini pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh Ismail Mohamed dan Ahmad Nawfal.

Ahmad Nawfal turut berkongsi pandangan yang semua calon kawasan itu mempunyai peluang sama rata kerana masing-masing pertama kali bertanding termasuk Muhyiddin yang pertama kali bertanding sebagai pembangkang.

"Semua adil. Calon BN (Ismail Mohamed) juga pertama kali ke Parlimen, saya berpendapat semua calon mempunyai peluang sama rata. Kita serahkan nasib pada pengundi," katanya.

Ismail meluahkan keyakinan kira-kira 26,000 pengundi putih telah menyatakan sokongan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Katanya, ia tidak termasuk 3,000 pengundi putih dari luar yang turut meluahkan keyakinan mereka terhadap kerajaan BN.

"Kami juga telah menemui kira-kira 3,000 pengundi kelabu yang kita kira masih berpotensi memberi 'mata kemenangan' kepada BN menjelang hari pengundian," katanya.

Pagoh mempunyai 51,512 pengundi berdaftar dengan 65.96 peratus merupakan pengundi Melayu, 29.76 peratus pengundi Cina dan 3.72 peratus lagi India.

-- BERNAMA