Kempen cara orang kampung lonjakkan populariti Cikgu Asmadi





KULIM, 7 Mei (Bernama) -- Pendekatan cara 'orang kampung' yang digunakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Datuk Asmadi Abu Talib, menampakkan sisi positif dalam siri kempen yang dijalankan sejak 29 April lepas.

Bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Paya Besar, Lunas itu berkata walaupun kempen kini banyak diwarnai elemen teknologi seperti penggunaan aplikasi WhatsApp dan Facebook, mendekati penduduk secara bersemuka memberi peluang kepadanya mengenali pengundi Merbau Pulas dari hati ke hati.

"Saya orang kampung dan saya memang tak tahu cara lain sebab dari dulu lagi memang suka jumpa orang ramai, tak kira bangsa, peringkat umur dan latar belakang mereka," katanya ketika ditemui pemberita dalam siri kempennya di sekitar Parlimen Padang Serai dan DUN Merbau Pulas.

Lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Asmadi, beliau berkata kempen yang dilakukan jenteranya dilihat berjaya menarik semula masyarakat India untuk menyokong BN manakala masyarakat Cina pula sudah dapat menerima kehadirannya sebagai calon.

Tambah anak jati Padang Serai ini, sesi kempen di Merbau Pulas yang berjalan baik malah tenang itu mungkin berdasarkan faktor latar belakang calon-calon yang bertanding.

"Kebetulan calon-calon iaitu Abdul Razak Salleh daripada PKR-Amanah dan calon PAS Datuk Siti Aishah Ghazali (penyandang DUN Merbau Pulas) juga pernah berada dalam profesion pendidikan.

"Jadi, etika perguruan yang menekankan sikap hormat-menghormati itu masih tebal dalam diri kami dan paling utama, saya percaya politik itu sesuatu yang baik. Kita tumpukan saja apa yang mahu kita lakukan untuk penduduk dan bukannya menyentuh peribadi calon lain," katanya.

Mengulas mengenai manifesto yang dijanjikan kepada penduduk Merbau Pulas, beliau akan berusaha menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut selain berusaha membangunkan infrastruktur terutamanya perumahan mampu milik.

"Saya calon baharu tetapi telah lama berkhidmat di sini...sebelum ini pun saya ada lakukan beberapa perkara bagi membantu menyelesaikan masalah banjir ini tetapi tak banyak yang boleh dilakukan kerana saya bukan wakil rakyat di sini.

"Tetapi, insya-Allah selepas ini jika diberi mandat, saya akan bawa segera permasalahan ini kepada kementerian, jabatan atau agensi berkaitan untuk selesaikannya," katanya.

-- BERNAMA