Kempen pembangkang belum capai tahap jatuhkan kerajaan BN Pahang




Oleh Mohd Yusof Saari

KUANTAN, 7 Mei (Bernama) -- Melewati hari kelima berkempen, gerak kerja pembangkang dalam memenangi hati pengundi dilihat belum mencapai tahap seperti yang diimpikan mereka - meranapkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Pahang.

Setelah meletakkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini sebagai peluang terbaik menumbangkan kerajaan negeri, gerak kerja pembangkang bagaimanapun tidak menjurus kepada matlamat yang dihasratkan.

Ketika 823,981 pengundi yang layak mengundi bagi menentukan bakal 'kerajaan baharu' menantikan tawaran pentadbiran negeri lebih baik, pembangkang bagaimanapun dilihat gagal 'menaburkan peluru' yang boleh mempengaruhi rakyat mengubah BN daripada teraju pemerintahan.

Mengikuti beberapa siri kempen dan ceramah pembangkang, PKR yang meletakkan harapan besar menggegar Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Menteri Besar ternyata lebih cenderung memainkan isu nasional berbanding menjual tawaran yang menyerlahkan gabungan DAP-PPBM-PKR itu selaku calon kerajaan menanti.

Selain berpaksikan isu 1MDB, kempen PKR yang sarat dengan kejian terhadap kerajaan juga berpusat kepada isu rasuah, pencuri dan penyelewengan yang disulami tutur kata memaki hamun lawan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun majoriti isu yang dibangkitkan telah dijawab dengan tuntas oleh kerajaan, penceramah dan jentera PKR dilihat terus mengemukakan fakta-fakta yang mengelirukan, dengan tujuan mewujudkan gambaran buruk serta persepsi negatif pengundi kepada kerajaan dan calon BN.

"Kempen-kempen sebegini hanya menyebabkan rakyat muak dengan cerita membelasah dan mengutuk kerajaan yang tidak berkesudahan," kata Mohd Hanif Zulhilmi, seorang pengundi muda yang ditemui Bernama di kawasan ini.

Rakannya, Mohd Safuan Zakaria pula melihat gabungan pembangkang semakin ketandusan idea apabila berterusan menjadikan larangan penggunaan gambar Dr Mahathir Mohamad selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden ketika berkempen dalam PRU14 sebagai modal ceramah mereka walaupun larangan itu diperincikan dengan jelas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rakan sebaya berusia 23 tahun itu berkata demikian ketika ditanya pendapat mereka tentang gerak kerja kempen pembangkang dalam meraih sokongan ketika sama-sama bersarapan di sebuah warung berhampiran dataran Paya Besar, satu daripada tiga kawasan Parlimen dalam bandar yang menyaksikan pertarungan sengit BN, PKR dan PAS selain Kuantan serta Indera Mahkota.

Perbualan bersama penduduk setempat juga menerbitkan andaian kempen tidak bermaya dan berfokus PKR itu, antara lain disebabkan 'penceraian' dengan PAS yang sebelum ini 'membekalkan' tenaga luar biasa dalam gerak kerja dan kempen memenangi pengundi.

Ekoran kehilangan sengat jentera pilihan raya PAS yang diakui umum sebagai antara yang tersusun dan paling menonjol dalam menjayakan gerak kerja kempen pembangkang sebelum ini, PKR seolah-olah terlupa matlamat asal untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Kehilangan itu, memaksa mereka bergantung kepada pemimpin utama di peringkat nasional yang terpaksa di bawa turun bagi menaikkan moral jentera dan penyokong dalam mengharungi tempoh berkempen yang berbaki dua hari.

"Perpisahan dengan PAS amat dirasai pembangkang terutama tarikan tradisi parti itu dari segi ceramah dan kempen, malah kehilangan itu menyebabkan PKR dan DAP melalui tempoh kempen yang perit kerana pekerja pilihan raya yang melakukan kerja di lapangan biasanya dibekalkan PAS," demikian menurut Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang Wan Emril Nizam Wan Embong.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) itu berkata rekod wakil rakyat pembangkang selepas diberikan mandat dalam PRU13 juga tidak begitu memberangsangkan untuk dijadikan sandaran dan 'bekalan' yang boleh diagihkan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Beliau berkata kesemua calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama dari pembangkang tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada keupayaan gabungan itu menguasai teknologi dan media sosial kerana situasi ketika ini berbeza daripada era kebangkitan media baharu pada PRU12 dan media sosial pada PRU berikutnya.

Wan Emril Nizam berkata integrasi media pada PRU14 menyaksikan golongan muda yang mendominasi dari segi peratusan layak mengundi lebih rasional iaitu tidak lagi hanya bersumberkan maklumat di media sosial sebaliknya melihat wakil dan pencapaian calon secara holistik.

Sebagai penentu kemenangan, mereka pastinya lebih rasional dalam memberi undi selepas mengambil kira track record calon dan parti selepas diberi kepercayaan pada PRU lalu, katanya.

-- BERNAMA