Pengundi muda boleh tukar angin dalam sekelip mata - penganalisis




KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Calon-calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU) harus bijak mengawal pemikiran dan emosi pengundi terutamanya dalam kalangan golongan muda kerana mereka boleh 'bertukar angin' dalam sekelip mata.

Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Sr Azmi Hassan berkata cara pemikiran pengundi muda pada masa kini agak berlainan.

"Misalnya, pernah ada satu ketika sekumpulan anak muda dalam perjalanan ke pusat pengundian ditahan polis kerana kesalahan remeh, akibat daripada tidak puas hati keputusan undi mereka telah berubah kerana mengaitkan polis dengan kerajaan.

"Hal ini kerana kaitan mereka dengan parti-parti politik tidak kuat, mereka tidak memahami sepenuhnya sejarah dan latar belakang sesebuah parti, ditambah pula dengan pengaruh media sosial yang menyebabkan mereka dikategorikan sebagai 'pengundi atas pagar' yang membuat keputusan secara emosi," katanya ketika menjadi tetamu program 'Nine11' Bernama News Channel, di sini, hari ini.

Katanya, mana-mana calon dan parti politik terutamanya calon-calon muda mereka perlu menyampaikan mesej kepada pengundi muda supaya membuat keputusan dengan bijak .

"Calon muka baharu dan muda ini sebenarnya banyak kelebihan apabila mereka dipilih sebagai calon kerana mereka memahami pemikiran generasi mereka. Pengundi muda juga senang untuk memahami mesej yang disampaikan oleh calon muda.

"Pengundi muda perlu diingatkan PRU ini bukan satu permainan, keputusan walaupun satu undi sekali pun akan mengubah hala tuju dan masa depan negara. Itulah sebab tanggungjawab pengundi ibarat 'ibu' segala PRU," katanya.

Azmi berkata bagi memastikan permahaman dan sokongan padu daripada pengundi, calon-calon haruslah bijak menghujahkan dasar dan manifesto mereka kepada umum ketika berkempen.

"Sangat sedih apabila trend berkempen pilihan raya pada masa sekarang banyak memainkan isu-isu sensasi, yang mana ia mungkin dapat menarik perhatian pengundi kerana mereka suka mendengar tetapi ia membangkitkan dan memainkan emosi pengundi.

"Amat jarang calon-calon ataupun parti-parti politik yang menghujahkan dasar, ataupun manifesto yang dilancarkan pada masa sekarang kerana ia dapat memberikan gambaran kepada pengundi tentang rancangan pada masa hadapan sekiranya dapat membentuk kerajaan sekali gus dapat memberikan mereka membuat keputusan terbaik pada hari pengundian nanti," katanya.

-- BERNAMA