Tun M gadaikan Nasionalisme Melayu untuk kuasa - Azalina




KOTA TINGGI, 7 Mei (Bernama )-- Bekas pemimpin UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sanggup menggadaikan nasionalisme Melayu yang diperjuangkannya selama ini demi mendapatkan kuasa dan jawatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Calon Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pengerang itu berkata Dr Mahathir bersuara seolah-olah beliau mempunyai falsafah politik 'bukan Melayu' sejak dahulu, namun perkara itu tidak benar sama sekali.

"Tun (Dr) Mahathir adalah nasionalis Melayu daripada dulu, tetapi tiba-tiba kerana mahu mendapatkan kuasa, kerusi dan jawatan dia boleh menggadaikan nasionlisme Melayu.

"Pemimpin sebegini bahaya, dia boleh lompat ke mana dia mahu dan cakap tak serupa bikin. Bagi saya ini adalah golongan munafik nombor satu," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada jelajah pemimpin bersama masyarakat di sini, hari ini.

Menurut Azalina, Dr Mahathir perlu mencontohi Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang walaupun sudah tiada kepentingan dalam kerajaan tetapi masih kukuh dengan pendirian.

Pak Lah (Tun Abdullah) tetap konsisten, walaupun tidak berkuasa tapi masih menyokong perjuangan kita (UMNO dan BN),"katanya.

Sementara itu, Azalina turut menyelar tindakan DAP yang telah menyebarkan tiga siri video propaganda sejak semalam dengan tujuan untuk menyerang BN serta memburukkan parti itu dengan fitnah semata-mata.

"Berkaitan video itu, kita biarkan Akta Antiberita Tidak Benar yang menghukum mereka selepas ini," katanya.

Menurutnya, DAP sebenarnya sudah tidak lagi bermaruah apabila sanggup menjual logo roket dan bertanding atas logo 'mata lebam' PKR yang jelas hanya bertujuan untuk meraih undi Melayu.

Semalam DAP menerusi akaun rasmi Facebook mereka telah memuat naik video berunsur fitnah dan propaganda jahat yang dilakonkan oleh calon kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan tujuan menghasut rakyat supaya percaya dengan cerita rekaan mereka.

-- BERNAMA