Adnan Seman berazam ubah nasib golongan miskin bandar
Oleh Cecilia Jeyanthi Victor
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bagi calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Bandar Tun Razak Adnan Seman, kunjungan ke sekolah lamanya, Sekolah Kebangsaan Sungai Besi, mengimbau pelbagai kenangan ketika belajar di situ dulu dan membangkitkan keazamannya untuk melakukan transformasi terhadap masyarakat bandar, yang menjadi sebahagian daripada identiti beliau sendiri.
Calon muka baharu berusia 42 tahun itu, dicabar Timbalan Ketua Muslimat PAS Dr Rosni Adam dan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR) dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini.
Ketika tiba di sekolah itu, Adnan disambut mesra guru besar Mohamad Muzamir Mohamad Yusof dan dua bekas rakan sekelasnya, Elmy Suhaimi dan Norol Hakim, kedua-dua mereka berusia 42 tahun, di samping para pelajar dan guru lain.
"Rasa sungguh gembira kerana berpeluang menyambut beliau (Adnan) kembali ke sekolah ini dan kami berharap beliau akan menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak kerana sebagai anak tempatan, beliau lebih layak untuk berkhidmat kepada masyarakat di sini," kata Muzamir, 47, semasa berucap pada majlis gotong royong sekolah itu di sini baru-baru ini.
Sementara itu, bekas rakan sekelas Adnan, Elmy, berkata calon BN itu adalah murid pendiam tetapi tekun dalam pelajaran.
Ditanya tentang kenangan paling manisnya ketika belajar bersama-sama Adnan, Elmy dengan nada ceria berkata mereka selalu bersaing untuk menjadi ketua kelas. "Tapi, selalunya, dialah yang menang," katanya.
Adnan, yang pernah mengalami pelbagai kesulitan hidup semasa membesar, berkata beliau berazam untuk mengubah kehidupan golongn miskin di Bandar Tun Razak dari segi pendidikan, kemahiran dan pembangunan sosial sekiranya diberi mandat.
Keutamaan saya adalah memajukan golongan paling miskin di sini kerana dengan wujudnya tuntutan kehidupan di bandar raya yang begitu tinggi, golongan miskinlah yang paling terjejas, kata Adnan kepada Bernama ketika beliau berkempen di sini.
Adnan, seorang peguam berjaya yang mengendalikan kes berprofil tinggi sepanjang 16 tahun bergiat dalam bidang guaman, juga merancang untuk menubuhkan pusat sehenti bantuan guaman di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.
"Saya merancang menubuhkan pusat bantun guaman untuk menyediakan perkidmatan guaman percuma kepada mereka yang benar-benar memerlukannya," kata beliau.
Sementara itu, penduduk Bandar Tun Razak S. Mahendran, 54, menyifatkan Adnan sebagai calon yang memiliki integriti dan bersedia untuk memperjuangkan nasib penduduk kawasan itu.
"Saya berjumpa beliau kali pertama Jumaat lepas dan saya dapati beliau sangat peramah dan apabila saya beritahu beliau saya pernah menjadi guru di SK Sungai Besi, beliau terus memeluk saya. Saya yakin beliau akan berkhidmat dengan baik serta membantu penduduk BTR, tidak kira sama ada beliau menang atau tidak," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Nor Milahwati Basri, 53, berkata BN sentiasa menabur bakti di kawasan itu tanpa mengira mereka kalah atau menang, termasuk membantu menjayakan pelbagai program dan inisiatif transformasi.
-- BERNAMA