Wanita UMNO Kedah tambah 'sentuhan' kepada rakyat




ALOR SETAR, 7 Mei (Bernama) -- Pergerakan Wanita UMNO Kedah memperhebatkan kempen mereka pada hari-hari terakhir menjelang pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini dengan menambah program sentuhan kepada rakyat.

Ketua Wanita UMNO Kedah Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah berkata pihaknya akan memperbanyakkan lagi program-program seperti 'Salam Sayang', 'Sentuhan Kasih' dan 'Selami Kasih' yang memberi tumpuan kepada golongan sasar seperti wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya dalam kelompok yang kecil.

"Program 'Salam Sayang' misalnya kita akan pergi ke kumpulan kecil, kita buat aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan dan bacaan yasin dan tahlil kemudian kita akan selitkan dengan ceramah isu semasa. Kita akan beri penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.

"Kalau dalam kumpulan kecil itu kita akan jemput pengundi bukan kata kita bawa jawatankuasa kita sahaja. Program itu dibuat secara kecil-kecilan. Itulah sentuhan yang paling berkesan sebab kita tengok daripada situ reaksi mereka dengan program kita," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pergerakan Wanita UMNO Kedah telah memulakan gerak kerja sejak dua tahun lepas malah dipergiatkan lagi dengan program-program turun padang berjumpa dengan pengundi di kawasan putih dan kelabu menjelang PRU14.

Sharifah Maznah berkata setiap program yang dijalankan mendapat kerjasama Jalinan Rakyat (JR) yang berperanan sebagai tulang belakang untuk mengenal pasti pengundi putih dan kelabu.

"JR lebih kenal siapa pengundi kelabu yang perlu kita sentuh. Bagi pengundi putih kita akan buat program seperti yang saya sebut tadi. Bagi pengundi kelabu lebih banyak kepada program penjelasan. Kita tak nak mereka lama jadi kelabu dengan benda-benda negatif.

"Kita ini tidak kira siapa, semua kita dekati termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) wanita pun kita dekati. Boleh dikatakan sentuhan kita ini menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Wanita UMNO Kedah turut mendekati golongan muda termasuk pengundi atas pagar memandangkan undian mereka akan menjadi penentu kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Sharifah Maznah berkata program-program yang dianjurkan itu juga melibatkan penyertaan calon-calon BN yang membolehkan pengundi mengenali dan berjumpa dengan bakal wakil rakyat yang akan mewakili sesuatu kawasan itu.

"BN bukan satu parti yang bermusim tapi sepanjang masa kita melaksanakan tugas dengan pelbagai program. Untuk calon-calon BN kita turut berkempen. Contoh di Parlimen Alor Setar kita sentiasa bergandingan. Kita bukan sahaja pastikan kemenangan di Parlimen, kita juga akan pastikan kesemua DUN (Dewan Undangan Negeri) di bawah Parlimen itu akan menang juga," katanya.

-- BERNAMA