Musa Aman yakin BN Sabah bawa kejayaan besar pada PRU14
PAPAR, 7 Mei (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman yakin BN negeri akan membawa kejayaan besar buat gabungan parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu ini.
Beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan sokongan padu rakyat di semua kawasan yang dilawatinya di seluruh Sabah sepanjang kempen sempena PRU14.
"Yang menggembirakan saya adalah semangat jentera BN yang begitu kuat dan hebat sekali. Begitu juga dengan sokongan rakyat yang memberi sambutan hangat.
"Saya tertanya kenapa (besarnya sokongan rakyat)?ini kerana rakyat Sabah sememangnya pandai dan pintar, mereka tahu parti yang boleh menjamin masa depan dan sudah tentu BN ada rekod. Parti lain tiada rekod," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan calon DUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail.
Dengan berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian, Musa menasihati para pemilih di negeri ini agar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
"Saya juga menasihatkan mereka supaya pergi awal ke pusat mengundi pada 9 Mei ini. Janganlah terlambat kerana ini hari yang amat penting untuk kita menjalankan tanggungjawab kita.
"Jangan lupa undi BN. Selamatlah kita," kata Musa.
-- BERNAMA