Kunjungan PM ke Beaufort bukti keprihatinan BN - UMNO Beaufort
BEAUFORT, 7 Mei (Bernama) -- Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Beaufort membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat mengambil berat kepentingan rakyat di daerah itu, kata Ketua UMNO Bahagian tersebut Datuk Isnin Aliasnih.
Katanya kehadiran pemimpin nombor satu negara itu mampu memberi suntikan semangat kepada pengundi.
"Kehadirannya membuktikan beliau (Najib) sentiasa mahu mendampingi dan mendengar permasalahan rakyat khususnya di Beaufort.
"Sejak menjadi perdana menteri telah banyak pembangunan yang dibawa ke Sabah berbanding pemimpin yang lama memerintah dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis santai bersama calon, di sini hari ini.
Isnin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Klias yakin sambutan meriah rakyat terhadap kedatangan perdana menteri akan dimanifestasikan sebagai sokongan tidak berbelah bagi kepada BN.
"Saya percaya sokongan itu akan dapat diterjemahkan pada 9 Mei (hari mengundi) ini," katanya.
Najib mengadakan lawatan dua hari ke Sabah bagi menghadiri majlis bersama pemimpin di Kota Kinabalu, Beaufort, Kota Marudu dan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Keningau.
-- BERNAMA